Jalaluddin Cadang Rundingan Meja Bulat Perhalusi Akta Penempatan Berkelompok (GSA)

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias hari ini mencadangkan satu rundingan ‘Meja Bulat’ diadakan, dengan penglibatan serius pihak kementerian, FELDA, peneroka, badan bukan kerajaan (NGO) dan pakar perundangan serta hartanah bagi mencari penyelesaian berbangkit, termasuk memperkukuhkan lagi Akta Penempatan Berkelompok (GSA).

Menurut beliau perkara berkenaan telah dibawa ke Dewan Rakyat baru-baru ini dan ia harus diberi sentuhan yang lebih baik daripada pihak kerajaan dan pelbagai pihak dalam usaha melihat ianya benar-benar dapat direalisasikan.

“GSA ini digubal lanjutan daripada Laporan Suruhanjaya Pentadbiran Tanah (Administration Commission Report) 1958. Ia digubal selaras peruntukan di bawah Artikel 76 Perlembagaan Persekutuan pada 27 April 1960 dan berkuatkuasa pada 30 Mei 1960.

“Tujuannya bagi menyeragamkan undang-undang serta dasar dengan penubuhan kawasan penempatan berkelompok dan syarat pemberimilikan dan penghunian di kawasan itu. Akta ini sangat baik dalam membantu mengurus dan mengawal selia tanah-tanah FELDA yang ada di seluruh negara.

“Namun akta ini telah berusia lebih 63 tahun. Banyak klausa dan seksyen yang mungkin relevan pada waktu ia diwujudkan tetapi untuk masa kini, ia perlu satu semakan semula, contohnya yang melibatkan soal pewarisan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi, ketika ini dianggarkan 60-70 peratus peneroka generasi pertama atau pemilik lot tanah dan ladang telah meninggal dunia.

“Justeru, lot-lot tanah dan ladang mereka diuruskan oleh waris yang dikelaskan sebagai pentadbir. Ada beza antara pentadbir dengan pemilik. Pentadbir tidak berkuasa penuh ke atas harta itu. Hasil ladang mesti dibahagi sesama waris mengikut perintah pusaka.

“Manakala pemilik pula individu yang berkuasa penuh ke atas hartanya dan setiap hasil ladang dimiliki sepenuhnya. Sejak akhir-akhir ini, isu pembahagian tanah pusaka makin mendapat perhatian dan menjadi isu terpenting dalam masyarakat di kawasan FELDA.

“Mesej saya adalah jelas. Ingin melihat dan membawa generasi FELDA lebih berdaya maju di masa hadapan, sekali gus tidak tertinggal dengan arus pemodenan yang kian mencabar,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.