Felda: Shamshulkahar Cadang Pendapatan Minimum, Subsidi Baja Diberikan 30 Peratus

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli mencadangkan agar kerajaan melaksanakan pelarasan pendapatan minimum peneroka Felda kepada RM1,500 sebulan berbanding sebelum ini sekitar RM1,200 sebulan.

Menurut beliau, pendapatan sebelum ini jauh lebih rendah daripada pelaksanaan gaji minimum RM1,500 dan sudah sampai masanya kerajaa bertindak secara proaktif .

“Saya ingin fokus kepada pendapatan purata peneroka Felda setiap bulan. Difahamkan pendapatan purata seorang peneroka setelah ditolak kos buruh, baja, pengurusan dan sebagainya adalah sekitar RM1,200 bersih sebulan.

“Ini jauh lebih rendah daripada pelaksanaan gaji minimum RM1,500. Jempol mencadangkan sudah sampai masanya kerajaan bertindak secara proaktif dengan menyelaraskan purata pendapatan peneroka minimum RM1,500 sebulan sesuai dengan dasar gaji minima negara dan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Implikasi kewangan bagi pelarasan pendapatan 112,635 orang peneroka dengan penambahan RM300 sebulan oleh pihak kerajaan adalah dianggarkan berjumlah RM405 juta setahun. Pelarasan ini amat perlu bagi meringankan beban hidup masyarakat peneroka Felda,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Shamshulkahar juga mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan subsidi baja sekurang-kurangnya 30 peratus kepada peneroka Felda.

“Golongan peneroka Felda belum pernah mendapat subsidi baja berbanding agensi-agensi lain di bawah sektor perladangan dan juga komoditi dalam menjalankan aktiviti perladangan, anggaran perbelanjaan membeli baja bagi setiap peneroka Felda adalah lebih kurang RM8,500 setahun.

“Secara kiraan kasar, anggaran perbelanjaan bagi belian baja peneroka Felda seluruh Malaysia untuk tempoh setahun adalah sekitar RM957 juta untuk kawasan ladang seluas 480,000 hektar di seluruh negara.

“Dengan sumbangan hasil peneroka berjumlah RM7 billion kepada pendapatan negara, Jempol mencadangkan pihak kerajaan mempertimbangkan subsidi baja sekurang-kurangnya 30% peratus kepada peneroka Felda. Sekiranya subsidi baja ini dapat dilaksanakan, implikasi kewangannya adalah sekitar RM287 juta setahun,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama beliau menyokong hasrat Felda menyediakan lot-lot perumahan bagi generasi baharu untuk membina rumah.

“Jempol menyokong penuh hasrat Felda menyediakan lot-lot kosong kepada generasi baharu di tanah rancangan Felda untuk membina rumah. Memandangkan sebahagian besar generasi baru yang menetap di kawasan Felda ini tidak mempunyai pendapatan tetap, Jempol mencadangkan agar mereka diberi bantuan pinjaman perumahan dan kemudahan pembiayaan bagi mereka membina rumah pertama di kawasan Felda,” ujarnya.

Dalam perbahasannya juga, beliau turut menyentuh soal berkaitan perumahan kakitangan Felda agar mereka mendapat kemudahan sewajarnya.

“Kita tidak lupa juga kepada perumahan kakitangan Felda yang dibina seawal 1959 hingga 2014 yang berjumlah 2,010 unit yang rata-rata diperbuat daripada kayu. Rata-rata keadaan fizikal rumah ini agak uzur dengan lantai kayu yang telah reput dan berlubang serta atap yang bocor.

“Ini melibatkan kos penyelenggaraan yang tinggi. Jempol memikirkan sudah sampai masanya rumah yang uzur ini dibina baru untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada kakitangan Felda. Jadi generasi baharu pun kita jaga, yang lama dan kakitangan Felda diberi perhatian serius,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.