Dr Asyraf Kongsi Amanat Bersama Pelajar MARA Luar Negara, Diskas Kerjasama Strategik Dengan Universiti Dan Konglomerat

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam siri lawatan menemui pelajar-pelajar Malaysia terutamanya di bawah tajaan badan berkanun itu di United Kingdom (UK) seperti di Edinburgh, Birmingham, Coventry, Warwick dan London.

Menerusi perkongsian di Facebook, Dr Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO berangkat pada Ahad lalu akan turut ke Nice, Perancis dan berakhir di Berlin, Jerman.

Ujarnya, banyak kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat konglomerat dan institusi-institusi pendidikan tinggi di UK, Perancis dan Jerman yang bakal MARA memeterai bagi manfaat lebih ramai pelajar Malaysia terutamanya dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang menjadi agenda utama negara kini.

Dalam kunjungan di Universiti Edinburgh, Scotland, Dr Asyraf berpeluang mengadakan sesi ramah mesra dan dialog bersama pelajar-pelajar tajaan MARA dalam satu majlis makan malam sebaik sahaja selesai mesyuarat dan perbincangan kerjasama antara MARA dengan pihak pengurusan universiti.

“Memang sengaja saya memilih untuk ke sini kerana MARA mempunyai 157 orang pelajar di Universiti Edinburgh sahaja. Ini tidak termasuk Glasgow, University of Strathclyde dan Aberdeen.

“Banyak pandangan dan soalan-soalan yang dikemukakan. Saya juga mengambil kesempatan berkongsi amanat agar mereka dapat menggali seberapa banyak khazanah ilmu dan kembali ke tanahair untuk menyumbang kepada pembangunan dan pembinaan negara bangsa.

“Saya rumuskan bahawa dengan perbelanjaan besar hampir RM1 juta MARA belanjakan untuk pembiayaan pengajian setiap seorang pelajar sepanjang tiga tahun di UK ini, pastinya harapan menggunung diletakkan di atas bahu mereka untuk menjadi manusia yang bermanfaat dan berjasa kepada agama, bangsa dan tanahair,” katanya yang mendapat ucapan penghargaan daripada pelajar-pelajar atas kunjungannya itu.

Terdahulu pada sebelah petangnya, dalam catatan di media sosialnya itu Dr Asyraf bersama Timbalan Ketua Pengarah (Usahawan) MARA Datuk Zulfikri Osman dan Pengarah MARA United Kingdom Noru Samsuddin mengadakan perbincangan strategik kerjasama dengan pihak pengurusan universiti.

“Banyak perkara yang dibincangkan mengenai kebajikan dan prestasi kecemerlangan 132 pelajar tajaan MARA di sini. Yang paling utama pihak Universiti Edinburgh berbesar hati untuk MARA mengadakan berkerjasama bersama mereka untuk terokai Program Berkembar atau ‘Twinning Program’ bagi membuka peluang lebih ramai pelajar Malaysia untuk mendapat pendedahan akademik di luar negara.

“Insya-Allah dalam masa terdekat, saya akan minta pengurusan Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di bawah MARA akan adakan perbincangan lanjut selepas ini bersama Universiti Edinburgh.

“Terima kasih pihak Universiti Edinburgh yang diwakili oleh Profesor Dr Tom Bruce Dean International-Students, College of Science and Engineering,’ Mr. Rupert Lezemore ‘Head of Recruitment and Admissions in the College of Arts, Humanities and Social Sciences’ dan Mr Chris Crame International Recruitment Manager’,” ujarnya.

Seterusnya kata Dr Asyraf, di University of Birmingham, UK diadakan sesi libat urus dan mesyuarat kerjasama strategik bersama pihak pengurusan universiti.

“Banyak isu yang dibincangkan mengenai pencapaian akademik pelajar tajaan MARA, kerjasama ‘Twinning Program’ antara Universiti Birmingham dan universiti-universiti di bawah MARA dan lain-lain.

“MARA juga mendapat respon yang positif daripada pihak pengurusan universiti yang hadir diketuai oleh Professor Robin Mason Pro-Vice-Chancellor (International) dan pasukan pengurusan Universiti Birmingham berkaitan permohonan diskaun yuran pengajian terhadap pelajar-pelajar tajaan MARA seperti yang diberikan oleh Universiti Sheffield, UK diskaun sehingga 20% jika selesaikan bayaran awal sebelum tempoh yang diberikan.

“Dengan diskaun pengurangan yuran pengajian ini, MARA berhasrat untuk menghantar lebih pelajar lagi ke Universiti Birmingham yang merupakan antara universiti terbaik di UK,” tambahnya.

Dalam perkembangan yang sama, Dr Asyraf turut menyantuni dan berdialog bersama pelajar MARA di Warwick dan Birmingham. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.