UMNO Kekal Komited Jaga Kepentingan Melayu, Tanpa Mengira Latar Belakang Ideologi Politik – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata UMNO kekal komited dalam menjaga kepentingan orang Melayu tanpa mengira latar belakang dan ideologi politik.

Menurut beliau, UMNO pada ketika ini memanfaatkan keberadaan dalam kerajaan untuk memberi dukungan berterusan kepada orang Melayu di samping mengangkat sosioekonomi mereka.

“Wujudnya UMNO adalah untuk menjaga kepentingan orang Melayu Bumiputera. Oleh itu kita kena pastikan program kerajaan, di peringkat parti untuk terus membantu mereka yang memerlukan.

“Kerana tidak dapat dinafikan yang banyak lagi benda kita boleh buat dalam masa dua tiga tahun ini. Kita cuba bantu sebanyak mungkin, jangan fikir ‘dia orang UMNO kena tolong, tapi dia orang Pas/PPBM jangan tolong’ bagi saya tidak boleh pemikiran sebegitu

“Kerana bagi saya yang penting adalah UMNO terus kekal relevan, bukan hanya untuk orang parti tetapi untuk orang Melayu,” katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian pada program Bajet 2024: Cabaran Malaysia Menarik Pelaburan Asing yang disiarkan secara langsung malam tadi di Facebook UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dalam pada itu berkata rakyat pada masa kini semakin matang dalam membuat penilaian mereka berkenaan senario politik negara.

Menurut beliau, ini kerana berdasarkan pemerhatian yang dilakukan rakyat juga mahu melihatkan polisi-polisi yang bakal memberikan manfaat jangka masa panjang buat mereka.

“Memang UMNO ini saya tengok kalau membantu rakyat ini sentiasa nombor satu tapi kena juga bantu rakyat dari segi aspek yang kita tak cover sebelum ini, kalau kena banjir kita selalu turun padang ia tidak boleh dinafikan.

“Tetapi dari segi polisi kerana pemikiran rakyat sekarang lebih matang. Sebab rakyat hendak tahu long term taking iaitu di manakah negara kita akan berada dalam masa lima hingga 10 tahun.

“Pemimpin-pemimpin kita kena berani untuk membuat pemikiran yang lebih besar mengenai kemajuan negara,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.