Tiga Matlamat Utama Wujudkan ‘Game Changer’ Banteras Gejala Dadah Menyeluruh – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya bahawa penerapan daya tindak segera masyarakat dilihat berupaya memberi pencegahan awal tentang bahaya dadah.

Beliau yang juga Presiden UMNO memaklumkan bahawa kerajaan telah menggariskan tiga matlamat utama dalam mewujudkan ‘game changer’ bagi membanteras gejala dadah dengan menyeluruh dan berkesan.

“Saya percaya bahawa penerapan daya tindak segera masyarakat dilihat berupaya memberi pencegahan awal tentang bahaya dadah kepada masyarakat dengan cara mendidik golongan berisiko melindungi diri daripada terjebak dengan gejala dadah.

“Tiga matlamat utama tersebut meliputi tindakan menghalang penyeludupan dan pengedaran dadah, meluaskan akses kepada rawatan dan pemulihan serta meningkatkan daya tindak dari bahaya dadah.

“Secara keseluruhan, di bawah tiga matlamat utama yang dibentangkan membawa kepada tujuh keputusan untuk membawa misi negara ke arah Dadah Terkawal 2025,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian menerusi hantaran dalam laman Facebooknya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah Bilangan 2 Tahun 2023, semalam.

Beliau turut memaklumkan tujuh keputusan untuk membawa misi negara ke arah Dadah Terkawal 2025 iaitu:

i.Menghapuskan jalan-jalan tikus dan jeti haram;
ii. Meminda Akta Dadah Berbahaya 1952;
iii. Pengukuhan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM;
iv. Mengawal selia semua platform e-Dagang;
v. Pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983;
vi. Pindaan jadual Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang yang Tidak Diingini 1969 (Akta 7); dan
vii. Menyediakan pelan strategik dan komunikasi yang komprehensif. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.