Saudi Aramco Perluas Fasiliti Pelaburan Di Pengerang, Gerakkan Ekonomi Negara – Azalina

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa pelaburan menggerakkan ekonomi negara dan secara tidak langsung memberi pendapatan dan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Beliau yang juga Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) merangkap Ahli Parlimen Pengerang berkata demikian berikutan makluman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Saudi Aramco komited untuk memperluaskan fasilitinya di Kompleks Bersepadu Pengerang, Johor, dengan menambah aktiviti hiliran petrokimia dan gas supaya ia menjadi hab terbesar di Asia Tenggara.

“Alhamdulillah, baru-baru ini pihak Saudi Aramco telah menyampaikan komitmen kepada YAB PM bahawa mereka ingin melabur dalam hiliran petrokimia dan gas di Pengerang.

“Ini sudah tentunya akan bawa manfaat besar kepada negeri Johor khususnya penduduk Pengerang apabila direalisasikan,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya berkaitan hal terbabit.

Ujar Azalina, akan ada limpahan daripadanya yang juga dinikmati industri sokongan dan oleh peniaga kecil setempat.

“Pelaburan menggerakkan ekonomi kita. Ia bukan sahaja secara langsung membawa kepada pendapatan dan peluang pekerjaan untuk rakyat, tetapi ada limpahan daripadanya yang juga dinikmati industri sokongan, dan oleh peniaga kecil setempat.”

Sebelum ini, Saudi Aramco telah menyuarakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab perkembangan minyak dan gas Arab Saudi di rantau Asia Tenggara.
Pada 2017, syarikat minyak dan gas nasional Arab Saudi itu telah menjalin pelaburan bersama dengan Petronas di Pengerang.

Laporan daripada Fortune Global 500 pada 2021 menyenaraikan Saudi Aramco di tempat keenam teratas sebagai syarikat paling untung di dunia, dengan perolehan berjumlah US$105 bilion (US$1=RM4.77). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.