UMNO Bukan Untuk Kepentingan Diri, Perjuangan Demi Rakyat – Sharif Musa

LAHAD DATU, 23 Okt – UMNO Bahagian Lahad Datu telah mempersiapkan anggota jenteranya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah dalam usaha bahagian terbabit untuk menyumbang kerusi bagi kemenangan Barisan Nasional (BN) kelak.

Ketua UMNO Bahagiannya, Sharif Musa Sharif Mabul berkata, hari ini UMNO mempunyai tugas yang amat berat untuk memastikan kesinambungan sokongan rakyat dan ahli-ahlinya.

“UMNO mempunyai tugas yang amat berat untuk memastikan bukan sahaja sokongan dan dukungan padu massa terhadap hala tuju Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi khususnya bagi menentukan semua rakyat Malaysia termasuk negeri Sabah mendapat peluang yang adil dan saksama daripada usaha menjayakannya.

“Sesungguhnya, kami UMNO Bahagian Lahad Datu tidak pernah menganggap amanah parti sebagai ‘ghanimah’ untuk kepentingan diri. Tetapi ini adalah suatu ujian untuk menilai kesetiaan kami kepada nakhoda UMNO.

“Kami berjanji akan terus berdiri di belakang nakhoda (Presiden) untuk memudik pelayaran bahtera ini menerjah samudera ke sebuah pulau kemenangan pada bila-bila masa PRN Sabah,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, dalam pgrogram yang sama UMNO turut mengalu-alukan kemasukan anggota baharu dalam parti.

“Kita menerima kemasukan ahli baharu seramai 1,081 orang. Penambahan ahli Cawangan DUN Kunak 441 orang. Jumlah keseluruhan kemasukan ahli baharu dan penambahan ahli DUN Kunak berjumlah 1,522 orang.”

Ujarnya, menerusi program tersebut juga telah diadakan penyampaian sumbangan kepada ketua-ketua Cawangan UMNO serta golongan asnaf dan anak yatim.

“UMNO Bahagian Lahad Datu tidak pernah lupa kepada golongan asnaf dan anak yatim. Sumbangan bakul makanan kepada mereka ini diharapkan akan dapat meringankan beban,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.