Lesen Operasi, Konflik Pemegang Saham Terbesar MYAirline Jadi Persoalan – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan bagaimana syarikat penerbangan MYAirline berjaya memperolehi lesen pengoperasian sekiranya mempunyai masalah kewangan.

Jelasnya, apa lebih memusykilkan adalah pemilik saham terbesar syarikat ini merupakan individu yang pernah disabitkan dengan kesalahan penggubahan wang haram sebelum ini.

“Tempoh hari kita dah menyatakan bahawa bagaimana MYAirline ini ditubuhkan musim pandemik dikalaorang tutup syarikat penerbangan. Semua syarikat penerbangan tutup tetapi negara kita ini, MYAirline dibina.

“Bagaimana mereka dapat memperbaharui lesen sehingga 2025? Kalau ada krisis kewangan, bagaimana mereka boleh dapat lesen? Apa yang lebih membimbangkan, pemilikan saham terbesar syarikat ini juga adalah individu yang terlibat dan pernah disabitkan kesalahan untuk kes penggubahan wang haram.

“Ini yang menjadikannya semakin pelik. Syarikat yang pemegang saham terbesarnya ada kesalahan penggubahan wang haram dibenarkan untuk beroperasi? Ke ada udang di sebalik batu? Ke ada taikun-taikun ini dibela oleh golongan-golongan yang berkepentingan di dalam negara pada ketika sebelum ini?” soalnya.

Menurutnya, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia seluruh negara telah melakukan laporan polis agar siasatan terperinci dapat dilakukan dan tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Jadi, sehubungan dengan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah membuat laporan polis di setiap negeri. Kita mohon kerajaan dan polis untuk mengambil tindakan serta menjalankan siasatan yang lebih terperinci untuk kes ini.

“Perkara ini diharap dapat menjawab segala persoalan yang bermain difikiran kita dan rakyat yang akhirnya kita diibaratkan seperti ditipu oleh golongan kayangan. Jadi, kita tengok sejauh mana siasatan ini akan dijalankan,” katanya.

Pada 12 Oktober lalu media melaporkan Syarikat penerbangan tambang murah MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menurutnya, tekanan kewangan menjadi punca keputusan sukar itu terpaksa dibuat selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.