Kerajaan Perpaduan Komited… Kurangkan Birokrasi, Mudahkan Rakyat – Azalina

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Kerajaan Perpaduan komited dalam memastikan Jabatan Bantuan Guaman diperkasa dalam membela nasib rakyat susah, untuk mendapatkan keadilan yang saksama.

Demikian tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Terdahulu beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO melancarkan eKlinik Guaman 6G Jabatan Bantuan Guaman (JBG) yang dibangunkan bagi membolehkan mana-mana organisasi memohon untuk mengadakan program klinik guaman dan literasi undang-undang JBG, di lokasi pilihan pemohon.

“Tahniah saya ucapkan kepada JBG atas inisiatif sistem aplikasi eKlinik 6G JBG yang bertujuan memudahkan rakyat mendapat maklumat mengenai bantuan guaman percuma,” katanya.

Azalina berkata, JBG juga akan mendapatkan khidmat peguam swasta dan pengamal undang-undang badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjadi pengantara, tertakluk kepada kes-kes yang perlu dikendalikan.

“Lantikan ini bagi memperkasakan perkhidmatan pengantara dalam penggalakan penyelesaian kes di luar mahkamah,” katanya serta menambah bidang kuasa melantik pengantara terletak di bawah Ketua Pengarah JBG.

Azalina berkata, sesi pengantara atau mediasi bukan sahaja dijalankan secara fizikal tetapi juga boleh dilaksanakan secara dalam talian bagi memudahkan masyarakat, selain mengurangkan kos pengangkutan pihak-pihak bertikai. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.