Jelajah Akar Umbi Manifestasi Kesungguhan, Komitmen Dan Iltizam Perjuangan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO telah diteruskan ke UMNO bahagian Jempol dan Jelebu semalam yang dipimpin Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Dalam hal ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa jelajah ini merupakan satu manifestasi kesungguhan, komitmen dan iltizamnya untuk turun padang bertemu dengan ahli-ahli parti.

“Saya nyatakan bahawa jelajah ini merupakan satu manifestasi kesungguhan, komitmen dan iltizam saya sebagai Presiden UMNO untuk turun bertemu dengan ahli-ahli di akar umbi di dalam menzahirkan rasa kasih dan tanggungjawab kepada perjuangan.

“Suntikan motivasi dan tiupan semangat untuk membangkitkan roh perjuangan UMNO perlu istiqamah dalam kita melahirkan generasi yang bukan sahaja memahami aspirasi perjuangan UMNO malah mampu menterjemahkannya dalam bentuk tindakan untuk bersama kepimpinan memperkuatkan parti,” katanya.

Tegas Ahmad Zahid menerusi hantaran dalam laman Facebooknya, UMNO mesti disatukan.

“Disatukan pemikiran, disatukan tindakan dan disatukan hati. Barulah ukhwah sesama ahli diperkukuhkan dan rangkaian yang lebih meluas dapat diwujudkan untuk menarik lebih sokongan.”

Dalam hantaran terdahulu beliau menjelaskan bahawa mesej penting yang disampaikan kepada semua ialah penyatuan sebagai kunci kekuatan.

“Semangat kekitaan dan sepasukan merupakan ramuan penting untuk kita perhebatkan UMNO agar kembali kuat dan dapat menarik keyakinan rakyat.

“Saya turut menegaskan bahawa UMNO akan terus menjadi parti yang mempertahankan falsafah perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.

“Ianya diterjemahkan di dalam inisiatif-inisiatif kerajaan yang sedang dilaksanakan antaranya mewujudkan Pra Tahfiz Kemas, TVET Tahfiz dan TVET Wanita adalah hasil cetusan idea UMNO untuk memperkasa pendidikan Islam dan membantu perkembangan ekonomi dan kerjaya wanita.”

Terkini, katanya, Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 yang beliau pengerusikan akan menjadi medan untuk kita sama-sama berdiskusi demi mengangkat martabat ekonomi Bumiputera.

“Moga usaha dan ikhtiar ini dapat disampaikan ke peringkat akar umbi sebagai satu menifestasi iltizam dan komitmen UMNO untuk memperkasa agenda Melayu.”

Beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada mereka yang menjayakan program terbabit.

“Terima kasih kepada pucuk pimpinan UMNO Negeri Sembilan atas kebersamaan dalam menjayakan jelajah ini.

“Semoga UMNO terus semarak dengan semangat kesatuan di dalam menempuhi kedinamikan cabaran politik mendatang,” katanya lagi.

Terdahulu Presiden UMNO memulakan Program Jelajah Akar Umbi iaitu turun berjumpa dengan kepimpinan UMNO di bahagian-bahagian pada 1 Oktober di UMNO Bahagian Putrajaya diikuti 7 Oktober, UMNO Bahagian Parit; 8 Oktober, UMNO Bahagian Sabak Bernam, 15 Oktober UMNO Bahagian Alor Gajah dan Bahagian Tangga Batu dan 18 Oktober, UMNO Bahagian Setiawangsa. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.