Jalaluddin Cadang Kerajaan Pertimbang Kaedah Undi Pos Bagi Anggota Pelatih Polis, Askar

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias mencadangkan agar pihak kerajaan mempertimbangkan kaedah undi pos kepada anggota pelatih polis dan askar yang ditempatkan di kem-kem latihan mengikut alamat termaktub di dalam kad pengenalan.

Jelasnya, ini kerana para pelatih polis dan askar di kem-kem latihan ini hanya berada di kawasan tersebut dalam jangka masa yang singkat.

“Saya nak ucapkan tahniah kepada polis dan tentera. Mereka mempunyai jasa dan peranan yang sangat tinggi dalam menjaga keamanan negara dan ianya tidak boleh dipertikaikan. Kita harus terjemahkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada mereka.

“Cumanya, pada ketika ini pelatih-pelatih polis dan mereka yang berada di kem-kem askar akan mengundi di lokaliti pusat latihan atau kem mereka berada. Saya ambil contoh di beberapa kawasan Parlimen.

“Kalau di Negeri Sembilan, kita ada kem tentera di beberapa daerah dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Di Jelebu kita ada Pusat Latihan Polis Air Hitam. Kita ada beberapa kategori iaitu pelatih regular yang akan menjalani tempoh latihan selama enam bulan dan pelatih sokongan selama empat bulan,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, jumlah pelatih yang agak signifikan di kawasan-kawasan tertentu boleh menjadi penentu kepada kemenangan mana-mana calon yang menawarkan diri.

“Di sesetengah kawasan latihan ini jumlah pelatih sama ada tentera ataupun polis mempunyai jumlah yang agak signifikan… yang boleh menjadi penentu kemenangan kepada mana-mana parti yang bertanding.

“Saya beranggapan bahawa situasi ini adalah tidak adil kepada rakyat yang tinggal di kawasan tersebut kerana para pelatih ataupun askar di kem ini kerana mereka berada bagi tempoh yang sangat singkat. Mereka tidak berada di situ buat selama-lamanya.

“Selepas selesai latihan, mereka akan berpindah kem dan tidak lagi akan berada di situ. Hal ehwal kebajikan dan pembangunan di kawasan tersebut juga bukan lagi menjadi urusan mereka,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, ini adalah tidak adil bagi para penduduk di kawasan tersebut kerana orang yang tinggal secara sementara diberikan peluang untuk menentukan wakil rakyat.

“Bukankah itu pada saya tidak adil kerana orang yang tinggal sementara tetap dan menjadi penduduk di situ tetapi telah mendapat hak untuk menjadi penentu kepada siapa yang akan berkhidmat di kawasan berkenaan.

“Di dalam proses pengundi di Malaysia, kita semua sedia maklum ada tiga pengundian iaitu pengundi awal, pengundi pos dan juga pengundi biasa.

“Oleh itu, saya ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan agar dapat mempertimbangkan pengundi askar dan polis boleh mengundi di kawasan seperti tercatat di dalam kad pengenalan mereka melalui kaedah undi pos,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.