Najib Razak Dinafikan Hak Kemuka Hujah Rayuan, Berikanlah Keadilan Kepada Beliau – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah dinafikan haknya untuk mengemukakan hujahan rayuan bagi kes pendakwaan SRC International meskipun telah berlaku penukaran peguam bela pada saat-saat akhir.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, Najib Razak merupakan seorang negarawan yang telah banyak berjasa kepada rakyat dan negara sepanjang zaman pemerintahannya.

“Hari ini kita berhimpun dengan aman. Hari ini kita berhimpun bukan demi saya, parti politik tetapi demi keadilan seorang negarawan yang telah banyak berjasa kepada kita.

“Apabila orang bertanya, apakah ketidakadilan? Perkara yang paling mudah sekali ialah Datuk Seri Najib dinafikan hak untuk mengemukakan hujahan rayuan apabila beliau menukar peguam,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Himpunan Aman Pulangkan Najib, semalam.

Menurutnya, sebanyak lebih satu juta tandatangan telah diperolehi untuk petisyen ‘Pulangkan Najib’ dan akan menghantarnya ke Istana Negara untuk ditimbangtara oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Kalau orang lain boleh, mengapa Datuk Seri Najib tidak boleh? Pada hari ini kita berhimpun, kita dah baca Yasin, buat solat hajat… kita merayu kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Sesungguhnya negara pada hari ini memerlukan Datuk Seri Najib Razak. Berikan keadilan, kita mohon kepada Yang di-Pertuan Agong agar boleh memberikan pengampunan kepada beliau.

“Kita dah lancarkan petisyen untuk rayuan Pulangkan Najib. Alhamdulilah, hari ini kita dah ada 1,167,000 tandatangan. Insya-Allah dalam minggu depan kita akan pergi ke Istana Negara dan hantar memorandum untuk pulangkan Najib Razak,” katanya lagi.

Pada 23 Ogos 2022 media melaporkan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara mendapati pembelaan yang dikemukakan oleh Najib tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.