Keharmonian Dan Perpaduan Perlu Diperkukuh Demi Manfaat Rakyat – Izudin

KUALA LUMPUR, 22 Okt – UMNO Bahagian Setiawangsa sentiasa komited dalam menjalinkan hubungan harmoni dalam kalangan parti-parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan termasuk Pakatan Harapan (PH).

Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Izudin Ishak berkata dalam memperkukuh ikatan perpaduan tersebut pelbagai pertemuan dan program disertai membabitkan UMNO bahagian dan PKR Cabang Setiawangsa.

Menurut beliau pertemuan yang diadakan di antara kedua-dua parti tersebut mengetengahkan pelbagai perkara terutama membabitkan rakyat serta diskuasi mengenai perkembangan semasa politik negara.

“Atas nama Kerajaan Perpaduan UMNO Bahagian Setiawangsa telah menjalin ukhuwah perpaduan melalui beberapa perkara seperti pengurusan UMNO Bahagian telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Ahli Parlimen Setiawangsa.

“Kami juga telah dijemput oleh Ahli Parlimen yang juga Ketua Cabang, Nik Nazmi Nik Ahmad ke majlis Perasmian Mesyuarat Agung Cabang Setiawangsa. Serta mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden PKR merangkap Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO yang diadakan baru-baru ini.

Dalam memperkasa jentera UMNO bahagian, Izudin memaklumkan bahawa kepimpinan beliau sentiasa melaksanakan aktiviti dalam memperkukuh silaturahim dalam kalangan akar umbi termasuk melalui Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

“Selepas selesai pemilihan UMNO Bahagian, pihak kami telah melaksana aktiviti merapatkan ukhuwah antara UMNO Bahagian dengan UMNO cawangan, persatuan penduduk, perumahan polis dan surau.

“Antaranya Program Santai Bersama Puteri UMNO Bahagian @ Taman Tasek Titiwangsa, Program Korban Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Sambutan Ambang Merdeka UMNO Cawangan Kampung Bharu Air Panas, Majlis Perasmian Mesyuarat Dwi Tahunan Vateren UMNO Bahagia Setiawangsa dan lain-lain,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.