Jelajah Akar Umbi: Bergerak Dalam Satu Pasukan, Pesan Presiden UMNO

JELEBU, 22 Okt – Siri Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO yang ketujuh dan kelapan diteruskan di UMNO Bahagian Jempol dan Jelebu pada pagi dan petang Ahad.

Bertempat di Dewan Kompleks Rakan Muda Jempol di Bandar Seri Jempol dengan kehadiran hampir 700 ahli pemimpin peringkat akar umbi bagi UMNO Bahagian Jempol manakala 600 kehadiran di UMNO Bahagian Jelebu yang diadakan di Dewan Kompleks UMNO Jelebu, Simpang Pertang, di sini.

Dalam kedua-dua pertemuan tersebut, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menitipkan pesanan buat semua pendukung parti agar sentiasa bersatu padu dan bersama-sama dengan kepimpinan bagi mengembalikan kekuatan parti dan seterusnya kerajaan yang didukung kini semakin kukuh.

Begitu juga Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyeru kepada semua barisan kepimpinan tanpa mengira peringkat mana jawatan yang disandang agar sentiasa berada di dalam satu pasukan, iaitu pasukan UMNO dan menolak segala anasir-anasir sama ada dari dalam mahupun luar parti yang mahu memecah-belahkan keharmonian.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid turut menghargai komitmen semua ahli yang masih setia dan bersolidariti dalam mempertahankan parti kerana UMNO tetap berada di dalam landasan dan asas perjuangan sebagaimana termaktub di dalam perlembagaan parti.

Selain Ahmad Zahid, hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ketua UMNO Bahagian Jempol Mustapha Nagoor, barisan kepimpinan UMNO negeri dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari negeri itu.

Manakala di pemimpin di peringkat pusat yang hadir seperti Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Pengarah Komunikasi UMNO Datuk Lokman Noor Adam yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan rakan sejawat seperti Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad; dan Datuk Mohd Faizal Ramli.

Sebelum ini Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN telah turun bertemu dengan kepimpinan peringkat akar umbi di Bahagian Putrajaya, Parit, Sabak Bernam, Alor Gajah, Tangga Batu dan Setiawangsa. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.