UMNO Beri Komitmen, Anjur Kongres Ekonomi Bumiputera

KUALA LUMPUR, 20 Okt – UMNO menyanjung tinggi komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan Malaysia untuk menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera pada bulan Januari 2024, sekaligus membuktikan keseriusan Kerajaan untuk terus memperkasakan lagi agenda ekonomi Melayu Bumiputera, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurutnya, UMNO juga ingin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kepercayaan dan keyakinan memberikan amanah besar kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mempengerusikan Kongres Ekonomi Bumiputera yang amat penting ini.

“Sesungguhnya Kongres Ekonomi Bumiputera merupakan cetusan awal UMNO pada tahun 1965 yang bukan sahaja telah menggagaskan pelbagai strategi dan inisiatif penting menggerakkan agenda Melayu-Bumiputera bahkan melahirkan pelbagai institusi bermakna buat orang Melayu Bumiputera termasuk MARA, UDA, FELDA, RISDA dan FELCRA.

“Mendepani cabaran zaman untuk tempoh 30 tahun mendatang, pastinya agenda Bumiputera perlu diberikan wajah dan semangat baharu dengan pelbagai perencanaan yang lebih strategik dan berkesan untuk memperkasakan lagi ekonomi Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” beliau berkata demikian pada sidang media di menara Datuk Onn, malam tadi.

Tambah Dr Asyraf, bagi mendokong penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera ini, mesyuarat bersetuju untuk melantik Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Ekonomi, Pelaburan dan Kewangan UMNO untuk menganjurkan Kolokium Pra Kongres Ekonomi Bumiputera dengan menggembleng kepimpinan UMNO semua peringkat di seluruh negara.

“Segala dapatan, maklum balas dan sumbang saran yang diperolehi melalui kolokium ini akan diangkat kepada Kongres Ekonomi Bumiputera yang bakal dianjurkan kelak,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO juga bersetuju melantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said selaku Pengarah Jentera Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

“Mesyuarat hari ini juga bersetuju untuk melantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said selaku Pengarah Jentera Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kemaman,” ujarnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.