Saya Mohon Semua Sahabat Tetap Teguh, Najib Perlu Dipulangkan Kepada Keluarga Dan Rakyatnya – Wan Muhammad Zuhir

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Presiden UMNO Siswa, Wan Muhammad Zuhir Ghazali mengajak semua pihak agar tetap teguh kepada perjuangan untuk memulangkan semula mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada keluarganya dan rakyat.

Jelasnya, himpunan yang berlangsung secara aman pada hari ini di hadapan Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, diadakan tanpa sebarang motif provokasi mahupun untuk mengkucar-kacirkan keadaan.

“Hari ini kita tidak berniat untuk sebarang motif provokasi. Hari ini tidak ada pun sebarang motif untuk memporak-perandakan keadaan. Hari ini kita hanya bermunajat kepada Allah. Kita sebagai umat Islam, menjadi senjata utama kita yang paling ampuh ialah doa.

“Untuk kita mengadu kepada Allah, betapa hari ini Israel telah pun menekan rakyat Palestin dan juga saudara-mara kita di sana.

“Hari ini, kita juga memohon kepada Allah supaya ketua kepada negara kita Yang di-Pertuan Agong dipelihara daripada segala bala bencana dan golongan mereka yang zalim,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Himpunan Aman Pulangkan Najib.

Menurutnya, solat hajat dan bacaan Yasin secara berjemaah telah diadakan sebelum himpunan aman tersebut berlangsung.

“Kita bermunajat kepada Allah hanya semata-mata bermohon kepada-Nya semoga dilindungi, diangkat segala malapetaka ke atas pemimpin yang telah banyak berjasa kepada kita iaitu Datuk Seri Najib Razak.

“Sebentar tadi, kita lakukan bacaan Yasin, bermunajat, berdoa, merintih, merayu hanya kepada Allah SWT.

“Saya memohon kepada sahabat-sahabat semua agar teguh, tegap bersama dengan azam bagi bersolidariti untuk Datuk Seri Najib Razak. Kita pulangkan Najib kepada keluarga dan rakyatnya,” katanya lagi.

Pada 23 Ogos 2022 media melaporkan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara mendapati pembelaan yang dikemukakan oleh Najib tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.