Gerakan ‘Pulangkan Najib’ Berjaya Kumpul Lebih Satu Juta Tandatangan, Bakal Hantar Petisyen Ke Istana

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Gerakan ‘Pulangkan Najib’ telah berjaya mengumpulkan lebih satu juta tandatangan dan bakal menghantar petisyen tersebut ke Istana Negara pada tarikh yang akan ditetapkan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, Himpunan Aman Pulangkan Najib yang berlangsung pada hari ini diadakan dengan tiga matlamat utama.

“Hari ini kita berhimpun secara aman. Sebelum berhimpun, kita telah melakukan solat hajat dan bacaan Yasin berjemaah. Antara doa yang kita munajatkan adalah agar Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri diberikan kesihatan baik, kebijaksanaan dalam memimpin negara.

“Kita berdoa juga agar rakyat Palestin diberikan kekuatan dan keberanian untuk menentang zionis Israel dan tidak lain tidak bukan kita juga berdoa agar keadilan diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak.

“Apabila keadilan beliau ketepikan setelah penukaran peguam, masa dan ruang tidak diberikan oleh Mahkamah Persekutuan untuk mengemukakan hujahan rayuan. Apabila orang lain boleh dapat, tetapi kenapa tidak Datuk Seri Najib Razak?” katanya menerusi satu sidang media selepas Himpunan Aman Pulangkan Najib.

Jelasnya, di samping ketidakadilan terpaksa dilalui oleh mantan Perdana Menteri itu, memo dalaman pejabat Peguam Negara yang telah tular turut menimbulkan kemusykilan.

“Apabila perkara ini berlaku, ianya tidak adil. Ada lagi beberapa perkara yang kita dengar seperti memo dalaman yang tular daripada pejabat Peguam Negara mengatakan bahawa tidak ada prima facie untuk diangkat bagi kes 1MDB dan IPIC.

“Tetapi, beliau tetap juga didakwa di mahkamah walaupun lima tahun tidak ada apa-apa, membazir begitu sahaja. Ini adalah salah satu perkara yang tidak adil untuk seorang negarawan banyak jasanya kepada kita.

“Pada masa yang sama juga bersama dengan UMNO Siswa, kita telah kumpulkan petisyen secara fizikal dan atas talian. Alhamdulilah, sehingga ke hari ini kita telah mencapai lebih dari satu juta tandatangan yang kita dapat,” katanya lagi.

Tegasnya, beliau percaya akan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam menimbangtara dan menilai semula kes mantan Perdana Menteri itu.

“Insya-Allah, semua tandatangan ini akan kita serahkan kepada pihak istana untuk Yang di-Pertuan Agong menimbangtara atas kebijaksanaan Tuanku. Ingat, rakyat dan Raja berpisah tiada. Kami percaya kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dapat menilai kes Datuk Seri Najib ini sebaik mungkin.

“Kita tengah menunggu satu tarikh daripada pihak istana supaya kita dapat menghantar petisyen yang telah dikumpulkan… untuk pihak istana dan Agong menimbangtara atas kebijaksanaan Tuanku,” katanya lagi.

Pada 23 Ogos 2022 media melaporkan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara mendapati pembelaan yang dikemukakan oleh Najib tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.