SUA Terima Kunjungan Hormat Duta Turki, Kerjasama Malaysia-Turki Dan Konflik Gaza Topik Utama Perbincangan

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Bertempat di pejabatnya di Tingkat 38, Menara Dato’ Onn di sini, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Turki HE. Emir Salim Yuksel bersama delegasi Kaunselor Pendidikan kedutaan Gönül Demirel pada Khamis petang.

Menurut Dr Asyaf, dalam pertemuan itu, antara perkara-perkara yang dibincangkan dengan segera ialah konflik yang semakin parah di Semenanjung Gaza.

“…dan pendirian, kerjasama serta strategi Malaysia-Turki dalam memastikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin dapat disalurkan dan keganasan terhadap insan-insan tidak berdosa dapat dihentikan.

“Kami berkongsi pandangan bahawa antara cara terbaik untuk menamatkan kemelut ini termasuk menzahirkan satu tindakan tegas bagi menghentikan rejim Israel dari menceroboh Gaza dan memastikan bantuan kemanusiaan masuk ekoran tragedi pengeboman di hospital Gaza baru-baru ini ialah dunia Islam perlu bersatu padu dan bersuara sebagai satu kesepakatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Seterusnya ulas Dr Asyraf, perbincangan turut menyentuh mengenai kerjasama ekonomi dan pendidikan terutama yang berkaitan dengan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) antara Turkiye dan Malaysia.

“Permulaan perbincangan menubuhkan dua ‘taskforce’ di mana Turkiye berhasrat membina sekolah di Malaysia dan juga turut memulakan proses merealisasikan hasrat Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dalam memastikan kerjasama Malaysia-Turkiye diperkukuhkan dalam aspek pertukaran serta pemindahan teknologi di mana Turkiye terkenal dengan industri pertahanan dan TVET,” katanya.

Begitu juga jelasnya berkenaan hasrat kerajaan dalam melihat hubungan dua negara diperkukuh dalam aspek ekonomi dan pendidikan.

“…dan tidak lupa juga dalam budaya dan hiburan ekoran drama dan siri Turkiye turut dibincangkan. Hubungan kukuh dua negara dilihat dapat menyumbang kepada suara ummah yang lebih lantang dalam membela nasib rakyat Palestin,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.