Puteri UMNO Lancar Tabung Kemanusiaan Palestin Dan Program ‘Puteri Sambung Belajar’

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia telah melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin dan juga Program ‘Puteri Sambung Belajar’ sebentar tadi.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, selain itu beberapa gerak kerja turut dibincangkan dalam mesyuarat pada hari ini termasuklah berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang bakal berlangsung kelak.

“Alhamdulilah, Puteri UMNO Malaysia telah selesai mesyuarat keempat pada hari ini. Antara perkara yang kami bincangkan ialah gerak kerja Puteri UMNO dalam PRK Kemaman yang akan datang.

“Ada beberapa gerak kerja yang kita bincangkan tadi. Cuma apa yang kami ingin tekankan di sini adalah dua program iaitu ‘Puteri Sambung Belajar’ dan juga sumbangan kemanusiaan untuk Palestin.

“Tabung (Kemanusiaan Palestin) ini dilancarkan pada hari ini dan akan digerakkan ke seluruh Malaysia. Insya-Allah. Untuk program ‘Puteri Sambung Belajar’, kita bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Sebentar tadi, wakil daripada UTM telah menyerahkan satu surat kerjasama pendidikan kepada Puteri UMNO,” katanya menerusi satu sidang media yang diadakan di sini hari ini.

Menurutnya, beberapa Exco Puteri UMNO akan diamanahkan bagi urusan berkaitan tabung berkenaan.

“Untuk sumbangan kemanusiaan Palestin ini diletakkan di bawah penyeliaan saudari Nooryana Najwa, Dayang Noor Azlin dan Shida.

“Mereka akan mencari sebanyak mana sumbangan yang boleh disumbangkan kepada saudara kita di Palestin. Segala sumbangan ini akan disalurkan melalui Wisma Putra,” katanya.

Mengulas lanjut, Nurul Amal memaklumkan bahawa Puteri UMNO menyasarkan untuk mendapatkan RM1,000 daripada setiap bahagian untuk Tabung Kemanusiaan Palestin.

“Untuk Tabung Kemanusiaan Palestin, kami menyasarkan untuk setiap bahagian ialah sebanyak RM1,000 tetapi kita mengharapkan agar ianya dapat ditingkatkan melalui maklum balas yang bakal diterima pada dua minggu akan datang.

“Insya-Allah, semangat Puteri UMNO ini kuat dan saya beranggapan mungkin kita boleh dapat sumbangan melebihi sasaran asal. Kita juga menggalakkan ahli korporat dan orang luar daripada parti untuk memberi sumbangan kepada saudara kita di Palestin melalui tabung kita lancarkan pada hari ini,” katanya.

Manakala bagi program ‘Puteri Sambung Belajar’ yang mendapat kerjasama UTM itu, beliau berkata terdapat beberapa pakej yang ditawarkan dan sebagai galakan kepada golongan muda melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Untuk program ‘Puteri Sambung Belajar’, sekiranya ada ahli Puteri UMNO yang ingin melanjutkan pelajaran untuk peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah, terdapat beberapa pakej ditawarkan.

“Kita ingin menggalakkan Puteri UMNO untuk sambung belajar di peringkat lebih tinggi. Untuk sasaran pertama ini, mungkin kita bermula di kalangan Exco-exco Puteri UMNO Malaysia dahulu dan insya-Allah akan diteruskan dengan negeri-negeri serta 191 bahagian. Kita akan lihat bagaimana penerimaan terhadap program ini,” katanya lagi. UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.