Penutupan Secara Tiba-Tiba MYAirline Aniaya Rakyat, Siasatan Terperinci Perlu Dilakukan

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa siasatan dilakukan berkenaan syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) yang baru-baru ini menghentikan operasi secara mengejut.

Katanya ini kerana penutupan tersebut seperti menganiayai rakyat yang sudah membeli tiket penerbangan tersebut.

“MYAirline ini sudah ada 125,000 penumpang yang sudah membeli tiket dan akhirnya apabila operasinya diberhentikan serta-merta dan kerugian hampir dekat RM2 juta duit rakyat.

“Akhirnya kepercayaan rakyat hendak beli tiket kapal terbang yang hendak travel, balik kampung dan sebagainya ini dikhianati, tetapi antara perkara yang kita hendak tahu kenapa pula tiba-tiba MYAirline ini nak tutup operasi.

“Tapi kita minta kalau ada pihak polis untuk menyiasat sedalamnya kerana kita tidak mahu rakyat akhirnya ditipu oleh high level of scam, jadi perlu siasat siapa yang terlibat,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebook.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin dalam pada itu meluahkan beberapa persoalan membabitkan pengoperasian syarikat penerbangan ini.

Dr Akmal malah berkata agak ganjil kerana MyAirlines mula beroperasi ketika dunia berhadapan dengan penularan wabak COVID-19 yang menyaksikan hampir keseluruhan syarikat penerbangan mengalami krisis sewaktu tempoh itu.

“MyAirlines ini ditubuhkan pada tahun Jan 2021 ketika musim COVID-19, pelik dan ajaib juga macam mana kalau ketika COVID itu banyak syarikat penerbangan yang tutup tetapi di Malaysia buka pula MyAirlines ini.

“Dan bagaimana lesen Pengendali Penerbangan ini dapat dengan mudah? ini antara satu kemusykilan dan tiba-tiba tiada angin dan ribut semalam Tan Sri Muhyiddin Yassin keluarkan kenyataan bahawa tiada kena-mengena dengan MyAirlines,” ujar beliau.

Terdahulu, MYAirline baru-baru mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa Khamis lalu, sehingga diberitahu kelak.

Dalam satu kenyataan, Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu memaklumkan keputusan penggantungan tersebut dibuat kerana tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.