Pasti Tiada Lagi Dakwaan Pas ‘Melayu/Islam Terancam’ Jika Mereka Bersama Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pasti tiada lagi dakwaan dari Pas yang mengatakan Melayu/Islam terancam jika mereka menyertai Kerajaan Perpaduan.

Menurut beliau, semestinya tiada juga fatwa atau ceramah daripada pimpinan dan pendokong Pas yang ‘mengkafir’ atau menyesatkan mana-mana pihak terutamanya terhadap parti yang berbeza ideologi dengan mereka.

“Tiada lagi isu ‘Islam terancam’ dan ‘Melayu terancam’ sebagaimana yang sering disebarkan dalam pelbagai media dan pentas ceramah. Dap sekali lagi akan disucikan dengan fatwa-fatwa baharu sebagaimana ketika mereka bersama dalam gabungan untuk hadapi Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1999, 2004 dan 2008.

“UMNO akan kembali dibersihkan dan tiada lagi kata nista, label-label seperti sesat, kafir, ahli neraka, munafik dan pelbagai lagi gelaran yang dikaitkan dengan binatang apabila sudah kembali menjadi rakan sebagaimana pengalaman 22 bulan dalam kerjasama Muafakat Nasional dan Penyatuan Ummah.

“Tiada lagi istilah Malaysia menuju negara sekular kerana bersekongkol dengan parti Dap yang dilabelkan kafir dan sekular,” katanya.

Beliau juga berkata dalam masa yang sama tidak akan ada lagi parti dalam Kerajaan Perpaduan terutamanya parti Melayu Islam seperti UMNO, Amanah dan PKR yang akan dilabel mengikut telunjuk Dap.

Katanya ia dapat dilihat pada PRU ke-10, ke-11 dan ke-12 dahulu yang menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim dijulang Pas sebagai pemimpin Islam yang suci dan bersih.

“Semua di atas pastinya akan menurunkan suhu politik negara yang memberikan manfaat kepada rakyat bagi membolehkan fokus utama kepada soal memulihkan ekonomi negara dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat kerana tiada lagi politik fitnah, politik tohmah, politik adu-domba yang merugikan dan memudaratkan,” ujar beliau.

Dr Asyraf memberikan respon beliau tersebut di Facebook selepas Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyebut bahawa Pas belum terima tawaran rasmi sertai Kerajaan Perpaduan serta Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengeluarkan kenyataan “tak lama dah, takkan Pas dengan 18 kerusi boleh jadi kerajaan tapi 43 kerusi jadi pembangkang?”. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit