Antara Jangkaan Dan Realiti, Shaiful Hazizy Bimbang Hala Tuju Masa Depan Bola Sepak Kedah

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin meluahkan kebimbangan dengan hala tuju bola sepak negeri itu pada masa akan datang.

Ujarnya, kehebatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjual masa depan memang terserlah namun dibimbangi apa yang dijual itu tidak menepati tawaran yang sebenarnya.

“’Expectation’ dan ‘reality’, rakyat perlu bijak menilai, di antara drama merealisasikan ‘The Greater Kedah’ dengan keupayaan sebenar, selepas ni adakah peminat dan pencinta bola sepak negeri akan dikecewakan oleh ‘Panglima’ yang mereka sendiri puja dahulu?

“Namun saya juga musykil, apa fungsi dua bekas idola bola sepak negeri yang telah diangkat menjadi pemimpin politik selepas PRN (Pilihan Raya Negeri) baru-baru ini? Soalnya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam statusnya, Shaiful turut menyiarkan satu video pendek mengenai perkara berkaitan.

Ujarnya lagi, sewajarnya mutu dan kualiti pengurusan pasukan bolasepak negeri menjadi bertambah baik dan prestasi mereka seharusnya berada sehebat JDT seperti yang diwar-warkan oleh Datuk Seri ‘Panglima’ sebelum ini.

“Namun saya mendoakan yang terbaik untuk pasukan negeri Kedah Darulaman. Semoga terus dapat terus bersaing dan terus kompetitif,” katanya.

Sebelum ini tular sepucuk surat dari Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah yang menawarkan penjualan saham persatuan itu sebanyak 49.06 peratus dengan harga sebanyak RM15 juta kepada DSAT Group.

Apa yang lebih membimbangkan, DSAT Group telah memberikan surat balasan kepada persatuan bola sepak negeri itu dan bersetuju untuk menerima tawaran dikemukakan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.