Usaha Pembangkang Buat Kerajaan Tebuk Atap Belum Berakhir – Puad

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menempelak kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengatakan parti itu akan kembali ke Putrajaya.

Puad mempersoal kenyataan itu dan mengatakan ianya jelas menunjukkan bahawa Pas sebagai parti yang angkuh dan tamak.

“Itu cakap Timbalan Presiden PAS. Maksudnya Kerajaan Perpaduan akan tumbang. Bagaimana? Mesti tebuk atap atau GPS tarik diri.

“Sebabnya Pas angkuh dan tamak. Pas derhaka titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Pas mahu jawatan Menteri Besar Pahang. Usaha beli 10 Ahli Parlimen UMNO gagal.

“Cakap Tuan Ibrahim menakutkan. Usaha kerajaan tebuk atap belum berakhir. Pas mahu politik Malaysia jadi macam kiamat,” katanya.

Terdahulu, Tuan Ibrahim pada Muktamar Pemuda PAS secara berseloroh berkata ketika parti itu menjadi kerajaan mereka hanya memenangi 18 kerusi Parlimen, sebaliknya kembali sebagai pembangkang selepas menang 43 kerusi dan ia tanda kiamat semakin hampir.

Untuk rekod, Pilihan Raya Umum ke-15 lalu menyaksikan tiada parti yang memiliki bilangan majoriti mudah yang menyaksikan Parlimen tergantung sehinggakan YDPA mencadang pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Kerjasama ini menyaksikan buat pertama kalinya kerajaan ditubuh berdasarkan persefahaman di antara Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan.

Bagaimanapun Perikatan Nasional (PN) menolak tawaran tersebut walaupun selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempelawa gabungan itu menyertai pentadbirannya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.