UNSC, Masyarakat Antarabangsa Perlu Bersatu Kecam Tindakan Zalim Rejim Haram Israel – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC) dan seluruh masyarakat antarabangsa mengecam tindakan zalim rejim haram Israel yang terus melakukan penindasan terhadap rakyat Gaza.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata kerajaan negeri akan terus bersolidariti bersama rakyat Palestin yang dizalimi rejim itu sejak 75 tahun lalu.

“Seperti mana yang saya nyatakan sebelum ini bahawa Kerajaan Negeri Pahang akan terus bersolidariti.

“Kerajaan Negeri Pahang juga menggesa UNSC serta seluruh masyarakat antarabangsa bersatu hati untuk mengecam serta mendesak agar peperangan yang tercetus sejak 7 Oktober lalu dihentikan segera,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Wan Rosdy berkata demikian selepas menerima kunjung hormat daripada badan bukan kerajaan (NGO) Palestinian Cultural Organization Malaysia yang diwakili oleh Pengerusinya, Badereddin Sevam yang menceritakan sendiri keadaan yang sedang berlaku di Palestin.

Turut sama dalam perjumpaan tersebut adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

Dalam pada itu beliau juga turut menitipkan harapan dan doa agar rakyat Palestin terus diberikan ketabahan agar mereka mampu hidup tanpa terus ditekan oleh rejim Israel.

“Semoga rakyat Palestin dilindungi, dikasihi, diberikan kekuatan, ketabahan serta keadilan yang sewajarnya agar mereka dapat hidup aman dan damai di tanah air mereka sendiri. Insya-Allah,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.