UMNO Perlu Terus Aktif, Komited Pastikan Perjuangan Parti Kembali Kukuh – Rosnah

PAPAR, 19 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin memaklumkan bahawa UMNO perlu terus aktif dengan ahli-ahlinya sentiasa komited bagi memastikan parti kembali kukuh.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Papar memaklumkan bahawa anggota parti di akar umbi termasuk di bahagiannya juga sentiasa memastikan setiap program yang dirancang akan dapat dilaksanakan sebaiknya bukan sahaja bersama anggota parti tetapi juga masyarakat setempat.

“Alhamdulilah, sekretariat-sekretariat Wanita UMNO Papar sentiasa bergiat aktif dan memberikan komitmen penuh bagi memastikan program yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Maklum beliau, program-program yang dirancang ini sentiasa diperhalusi dan bakal dilaksana sebagaimana dijadualkan iaitu pada bulan Oktober hinggalah ke penghujung tahun ini.

“Kita menjurus kepada program-program di bawah Sekretariat Wanita yang bakal dijalankan pada bulan Oktober hingga Disember 2023.

“Kita mempunyai aspirasi dan iltizam dalam memantapkan gerak kerja Wanita UMNO di seluruh peringkat. Insya-Allah Wanita UMNO Bahagian Papar akan terus istiqamah dalam perjuangan bersama parti tercinta ini,” katanya.

Sebelum itu beliau memaklumkan bahawa Wanita UMNO Papar telah menerima kunjungan dari Wanita UMNO Negeri Sabah sempena program yang dilaksana iaitu turun ke Wanita Bahagian-bahagian seluruh negeri.

Rombongan Wanita UMNO Negeri ini diketuai oleh Datuk Noraini Idris selaku Ketua Wanita UMNO Sabah. Turut hadir, Naib Ketua Wanita UMNO Negeri, Chaya Sulaiman; Setiausaha Wanita UMNO Negeri, Rosnah Abdullah dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Sepanggar, Rahmah Rashid. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.