Setiawangsa Lokasi Keenam Jelajah Akar Umbi Presiden, Terus Perkukuh Perpaduan

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO meneruskan siri kembaranya ke UMNO bahagian sebagai perjumpaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan parti.

Malam tadi, UMNO Bahagian Setiawangsa menjadi lokasi keenam jelajah tersebut yang diadakan di Auditorium Felcra Berhad.

Dihadiri hampir 1,000 ahli akar umbi dan kepimpinan UMNO bahagian Setiawangsa, pelbagai perkongsian disampaikan oleh Presiden termasuk harapannya kepada penyatuan dalam kalangan ahli parti.

Katanya, penyatuan tersebut penting bagi memastikan gerak kerja sebaiknya dilaksanakan dalam persiapan mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut sama meluangkan masa bersama akar umbi UMNO Setiawangsa melalui perkongsian beliau mengenai perkembangan semasa politik negara.

Sebelum ini, siri jelajah telah bermula di Putrajaya, diikuti Parit, Sabak Bernam serta Alor Gajah dan Tangga Batu yang diadakan pada minggu lalu.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh; Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi; Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Seri Izudin Ishak serta kepimpinan bahagian. – UMNO Online 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.