Khidmat Bakti Berterusan Dira Untuk Rakyat DUN Rim

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar meneruskan politik khidmat bakti beliau dengan menyantuni masyarakat setempat.

Menerusi perkongsian di Facebook, beliau berkesempatan menziarahi ke beberapa rumah rakyat di DUN Rim yang kurang bernasib baik.

Khaidhirah yang lebih dikenali sebagai Dira mengunjungi isteri kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Terentang, Datuk Ahmad Baharuddin iaitu Datin Faridah yang berhadapan dengan ujian kesihatan.

“Alhamdulillah, dalam kesibukan untuk berkhidmat untuk DUN Rim, saya mendengar perkhabaran bahawa salah seorang keluarga DUN saya, Datin Faridah, tidak sihat atas masalah kesihatan.

“Jadi, saya cari masa untuk menziarahi beliau di Kampung Terentang. Beliau ini bukanlah nama asing iaitu isteri kepada Pengerusi JPKK Kampung Terentang, Datuk Haji Ahmad Baharuddin dan juga mantan Bilal Wanita di Masjid Kampung Terentang.

“Saya mewakili kepimpinan DUN Rim mendoakan agar Datin Hajah Faridah lekas sembuh dan dikurniakan kesihatan yang baik. Semoga setiasa sihat dalam menabur bakti buat salah satu lokaliti di dalam DUN Rim,” katanya.

Sementara itu, Khaidhirah menerusi hantaran berbeza turut berkongsi perkhabaran duka apabila ada dalam kalangan penduduk di DUN Rim yang telah pun meninggal dunia.

Beliau dalam kunjungan ke rumah waris meluahkan simpati atas kehilangan insan tersayang, di samping menitipkan kata-kata semangat dan mendoakan Allahyarham dan Allahyarhamah di tempatkan bersama golongan yang soleh.

“Saya berkesempatan untuk menziarahi ahli keluarga Allahyarham Dolrahman bin Adom di Kampung Kelubi yang meninggal akibat Kanser Usus. Kemudian saya turut berkesempatan untuk menziarahi Allahyarham Shafie Wahab yang juga menetap di Kampung Kelubi yang telah pun dijemput ilahi atas asbab Barah Usus.

“Saya juga mendapat perkhabaran duka di Taman Mesra Rim apabila Allahyarhamah Normah binti Zakaria yang menghidap Barah Payudara telah pun kerahmatullah semalam. Jenazahnya telah pun sempurna dikebumikan pagi tadi.

“Salam Takziah saya ucapkan buat seluruh ahli keluarga. Saya doakan semoga roh Allahyarham dan Allahyarhamah ditempatkan di kalangan orang yang beriman,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.