Keakraban Dan Kerjasama Serantau Amat Penting – Azalina

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menekankan bahawa keakraban dan kerjasama serantau amat penting.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Agung Persatuan Undang-Undang ASEAN (ALA) ke-14 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

“Mesyuarat ini dihadiri oleh pemimpin-pemimpin kerajaan serantau, Ketua-ketua Hakim Negara, Peguam-peguam Negara, hakim-hakim dan pegawai-pegawai kehakiman dan perundangan, firma- firma guaman serta juga pakar perundangan.

“Banyak perkara yang akan dibincangkan beberapa hari ini merangkumi pengukuhan hubungan antara institusi pendidikan dan penyelidikan, serta kerjasama dan persefahaman antara pihak-pihak berkepentingan,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya berkaitan hal terbabit.

Sebelum itu, dalam ucapan Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan akan terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman negara walau apa jua pun.

Ujarnya, sebagai Perdana Menteri, beliau bukan sahaja tidak mencampuri walau sedikit pun kuasa badan kehakiman, malah akan mempertahankan walau apa cara sekalipun, kebebasan badan kehakiman. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.