Henti Manipulasi Isu Kaum Agama Ketika Berbahas, Ketepikan Kepentingan Politik – Bung Moktar

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Memulakan mukadimah perbahasan ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat baru-baru ini, Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin menegur sikap beberapa Ahli Parlimen yang menggunakan sentimen agama dan kaum dalam sesi perbahasan.

Tegasnya, keadaan ini bukan satu budaya dan perlu dihentikan.

Kata Bung Moktar, Ahli Parlimen yang berjumlah 222 orang adalah mewakili kira-kira 36 juta rakyat Malaysia bermakna mereka mewakili rakyat, justeru ketika berbahas janganlah menimbulkan provokasi yang melampau sehingga menyentuh soal agama dan kaum.

“Kita menjadi tontonan dan perhatian oleh rakyat Malaysia malah seluruh dunia, yang seharusnya menjadi tauladan kepada semua pihak.

“Perbuatan atau perbahasan yang menyentuh sensitiviti terutama agama boleh menjejaskan keharmonian kaum yang perlu dielak semasa berbahas,” katanya semasa perbahasan tersebut, semalam.

Katanya, ucapan kafir-mengkafir perlu dielak dan sebaiknya Ahli Parlimen berbahas dengan berhemah tanpa mengguris perasaan orang lain.

“Dalam soal agama Islam mungkin pengetahuan saya masih agak kurang, tapi dalam al-Quran pun disebut dalam surah Al-Kafirun “Untukmu agamamu dan untukku agamaku” maka sebagai umat muslim yang soleh, kita dianjurkan untuk menghormati kepercayaan orang lain. Justeru hentikanlah perbahasan yang boleh memecah-belahkan keharmonian kaum.”

Ditemui selepas persidangan tersebut Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata, sudah 66 tahun Malaysia merdeka dan rakyat hidup dalam negara demokrasi dan bebas ke mana sahaja serta mengamalkan ajaran agama masing-masing.

“Ini tidak bermakna kita juga bebas melakukan perkara yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan yang sudah enam dekad dipupuk?

“Belum cukupkah pengajaran daripada tragedi 13 Mei 1969, insiden rusuhan kaum yang sepatutnya sudah banyak mengajar kita erti perpaduan dan seharusnya menjadi iktibar bagi mengelakkan negara kacau-bilau dan musnah akibat sengketa sesama kita rakyat Malaysia,” ujarnya.

Bung Moktar menambah dalam negara pelbagai kaum dan agama seperti Malaysia, tolak ansur perlu diutamakan bukannya mementingkan masa depan politik parti atau mahu menjadi hero kerana bimbang kalah dalam pilihan raya.

“Sebab itu kita selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kita membentuk Kerajaan Perpaduan sebagaimana yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan harapan konsep perpaduan dalam negara yang pelbagai agama dan bangsa dapat disatukan untuk membangun negara yang tercinta,” katanya.

Menurut Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah, jika rakyat Malaysia terus berpecah-belah dan pemimpin gagal menunjukan contoh yang terbaik kepada rakyat maka keharmonian dan keamanan gagal dicapai malah sudah tentu membantutkan usaha untuk terus memacu pembangunan dan ekonomi negara. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.