UMNO Sentiasa Bersama Rakyat, Keprihatinan Santuni Masyarakat Pelbagai Peringkat – Jeffery Nor

KOTA KINABALU, 18 Okt – Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Negeri Sabah, Jeffrey Nor Mohamed menekankan bahawa kepimpinan parti pelbagai peringkat sentiasa bersama-sama rakyat tanpa mengira masa dan bukan bermusim.

Katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan, keprihatinan terhadap masyarakat setempat sememangnya adalah keutamaan kepada UMNO kerana parti tersebut amat sinonim dengan khidmat bakti dalam apa-apa juga keadaan.

“Saya telah bersama-sama masyarakat setempat di bahagian Putatan menerusi beberapa acara termasuk memenuhi undangan PEWANIS bagi program sumbangan kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan.

“Dalam hal ini saya amat menghargai dan menyambut baik penglibatan pelbagai pihak khususnya NGO yang berganding sama dengan UMNO bagi menjalankan pelbagai aktiviti khususnya untuk menyantuni rakyat dan membantu mereka yang kesusahan,” katanya.

Jelas Jeffrey Nor, hasil kerjasama dan kesepakatan UMNO pelbagai peringkat iaitu dari akar umbi hinggalah ke pimpinan atasan akan dapat memudahkan pelbagai urusan termasuklah menyalurkan maklumat agar bantuan dapat dibuat.

“Hasil usaha dan kesungguhan dari semua pihak maka kita dapat laksanakan pelbagai acara dan program bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Kita mahukan semua pihak mendapat pembelaan kerana UMNO akan sentiasa bersama-sama memastikan masyarakat dapat menikmati kehidupan yang sejahtera.”

Berkaitan golongan muda, beliau memaklumkan bahawa UMNO Bahagian Putatan juga sentiasa berdamping dengan golongan belia malah menyokong pelbagai usaha untuk aktiviti mereka.

“Kita telah laksanakan penyampaian sumbangan untuk golongan muda bersukan dan beriadah iaitu aktiviti yang menjadi kegemaran mereka.

“Kita berikan sedikit sumbangan net, bola takraw dan badminton untuk kegunaan para belia di Kampung Kepayan 2 dan Kampung Teguli selain sumbangan kepada belia-belia di Taman PPR Keramat yang akan menyertai pertandingan futsal di Beaufort.

“Semoga dengan sumbangan yang diberikan ini dapat membantu anak-anak muda dalam meningkatkan mutu sukan di Daerah Putatan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.