Situasi Di Gaza Semakin Meruncing, Negara Islam Perlu Bersatu – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh sekali lagi meluahkan kebimbangan beliau dengan situasi yang semakin meruncing di Gaza.

Katanya, pada ketika ini negara-negara Islam seluruh dunia seharusnya bersatu dan membantu rakyat di Gaza yang ditindas dan dinafikan hak berada di tanah air mereka.

“Sampai bila? Sudah tiba negara Islam seluruh dunia bersatu padu dan bangkit membantu mereka.

“75 tahun berlalu, mereka tetap terus dinafikan hak dan terus menerus ditindas.

“Di manakah pemimpin seperti Salehudin Al Ayubi? Muhammad Al Fateh? Khalid Al Walid? Cukup cukuplah mereka ini disiksa di tanah air mereka sendiri,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terbaharu serangan pengeboman Hospital Al-Ahli al-Arabi di utara Semenanjung Gaza, malam tadi mengorbankan lebih 500 nyawa apabila hospital itu dipercayai menjadi tempat beribu pelarian Palestin mencari perlindungan di Gaza.

Sehingga hari ini sekurang-kurangnya 3,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak Hamas melakukan serangan mengejut pada 7 Oktober di Israel yang telah membunuh lebih daripada 1,400 orang.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan serangan terbaharu Israel di hospital tersebut sebagai satu tindakan gila dan hilang perikemanusiaan.

Beliau menyifatkan ia satu serangan keterlaluan oleh pihak Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.