Kesepaduan, Kesetiaan Ahli Parti Pastikan UMNO Terus Kekal Relevan – Fairul Roslan

ALOR GAJAH, 18 Okt – UMNO perlu kekal relevan kepada bangsa Melayu sebagai tonggak kerajaan dan dapat menyatupadukan semua kaum yang ada demi pembangunan negara pada masa depan, kata Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Menurutnya, hanya parti UMNO yang tetap komited membela nasib rakyat dan terus menjadi sandaran untuk menentukan kejayaan negara pada masa depan.

“Sudah pasti kesepaduan ahli-ahli UMNO untuk bersama menyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah amat penting bagi memastikan parti ini terus relevan dan kekal bagi membantu negara terus membangun serta membela nasib rakyat.

“Kesepaduan ahli-ahli parti di peringkat cawangan, bahagian mahupun negeri harus melakukan gerak kerja yang lebih banyak menyantuni rakyat dan juga ahli UMNO. Beliau juga turut menasihati ahli parti supaya jangan duduk terlalu selesa walaupun UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan, lakukan gerak kerja harus berterusan dan jangan merasakan dalam zon senang.

“Ahli-ahli UMNO perlu sedar modus operandi yang digunapakai pihak pembangkang adalah menjatuhkan institusi Presiden. Pihak lawan sentiasa menyerang, melemahkan kepimpinan Presiden dari pelbagai sudut, maka kesetiaan ahli parti sememangnya diperlukan dan harus melawan pihak pembangkang,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Seterusnya Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka itu berharap agar ahli parti terus memperkasakan medium media sosial dengan menyalurkan fakta jelas bagi memudahkan pemahaman dan pelbagai isu termasuk fitnah politik yang sering ditimbulkan pihak tertentu untuk menjatuhkan parti.

“Media sosial merupakan sumber rujukan utama ketika ini, justeru UMNO perlu mengambil pendekatan serius bersifat menyeluruh dan terancang dalam menyalurkan maklumat berkaitan parti selain menentang segala dakyah terutama daripada pembangkang.

“Ahli parti perlu menjawab permasalah isu dengan menggunakan fakta agar rakyat tidak mudah terkeliru dan terpesong dengan hasutan yang dilakukan oleh pihak lawan, walaupun kita tahu pihak lawan sering menggunakan media sosial untuk memfitnah parti UMNO.

“UMNO tidak boleh ketinggalan menguasai media sosial, bukan sahaja di saat akhir pilihan raya tetapi dari awal lagi mempromosikan dan berkongsikan segala maklumat dan gerak kerja parti supaya rakyat tahu parti ini adalah betul-betul membela nasib rakyat, agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.