Amanat Presiden Jadi Azimat Akar Umbi Parti – Rais Yasin
TANGGA BATU, 18 Okt – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin merasa terharu dengan kesudian Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam menyampaikan amanatnya pada siri Jelajah Akar Umbi.
Ini kerana kata Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu itu, amanat yang disampaikan beliau akan dijadikan azimat dan juga penjelasan kepada akar umbi parti berhubung kerjasama yang terbentuk dalam Kerajaan Perpaduan.
“UMNO Tangga Batu merasa berbesar hati dan berbangga atas kesudian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana sudi bertandang. Kami di Tangga Batu merasa bersyukur kerana dapat mendengar sendiri amanat dan luahan hati yang tulus ikhlas dari beliau.
“Amanat yang disampaikan oleh Presiden amat jelas bagi akar umbi memahaminya terutama kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan. Lebih 800 ahli parti yang merupakan akar umbi dari UMNO Tangga Batu menunjukkan betapa ahli parti sangat mengharapkan sentuhan dari Presiden parti,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka berkata komposisi di Parlimen Tangga Batu berbilang kaum dan tidak mustahil pada pilihan raya akan datang, Barisan Nasional (BN) dapat mengambil kembali kerusi tersebut.
“Tidak mustahil UMNO boleh merampas kembali Parlimen Tangga Batu pada pilihan raya akan datang dan parti komponen dalam BN terus diperkasakan. Semangat baharu yang ada di dalam Kerajaan Perpaduan, sudah pasti gerak kerja akan bersama-sama.
“Saya akan menyantuni 70 cawangan UMNO dengan secepatnya serta membawa mesej yang disampaikan oleh Presiden serta menerangkan dan berdialog dengan akar umbi tentang pentingnya keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan dan memastikan Kerajaan Madani terus utuh terutamanya dari sudut ekonomi serta isi perut rakyat,” katanya lagi.
Pada masa yang sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu percaya Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara dapat melaksanakan pelbagai program khususnya bagi golongan muda.
“Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET negara telah melaksanakan program-program TVET, khasnya untuk anak-anak muda yang boleh dilakukan.
“Sekiranya kestabilan politik itu ada maka banyak boleh membantu rakyat, insya-Allah,” jelas beliau. – UMNO Online