UMNO terus Bersemarak, Keahlian Bertambah Bukti Perjuangan Kembali Mendapat Sokongan – Sharif Musa

LAHAD DATU, 17 Okt – UMNO terus bersemarak dan mendapat sokongan dari pelbagai peringkat lantaran perjuangan yang bersandarkan kepada asas tujuannya selaku parti politik mendukung cita-cita kebangsaan demi mengekalkan martabat agama, bangsa dan negara.

Hal ini dibuktikan oleh UMNO Bahagian Lahad Datu yang terus menambahkan jumlah ahlinya walaupun selepas pemutihan dilaksana iaitu dengan kemasukan ahli-ahli baharu.

Ketuanya, Sharif Musa Sharif Mabul memaklumkan bahawa dari 47,223 ahli UMNO Bahagian Lahad Datu, kini telah menjadi 50,208 dengan kemasukan ahli UMNO baharu 2,985 selepas pemutihan peringat cawangan.

“Alhamdulillah. Terbaharu ini belia Kampung Betik telah membuka Cawangan UMNO Belia Kampung Betik Silam, dengan keahlian sebanyak 70 orang. Insya-Allah, pada Sabtu ini akan ada kemasukan ahli baharu sebanyak lebih 100 orang dengan sesi penyerahan borang ahli akan diadakan di pejabat UMNO Bahagian Lahad Datu,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam hal ini beliau yakin bahawa UMNO akan terus mendapat tempat di kalangan rakyat apabila khidmat bakti yang dilaksanakan oleh anggota parti tanpa mengira masa dan musim terutama kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“UMNO adalah rumah kita. Ini pusaka kita. Kecil atau besar di mata orang, di sinilah tempat rebah dan bangkit kita. Dengan keikhlasan perjuangan yang kita bina, insya-Allah, mereka yang meninggalkan kita, Allah gantikan dengan orang-orang khusyuk dalam perjuangan bersama kita.

“Mereka merancang, Allah juga merancang,” katanya yang sentiasa yakin dan komited terhadap parti termasuklah kepimpinan di peringkat atasan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.