Pindaan Akta Akauntan 1967 Diperhalusi Seiring Keperluan Profesion Perakaunan – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan bahawa pindaan membabitkan Akta Akauntan 1967 akan diperhalusi melalui proses libat urus bagi menangani isu-isu melibatkan profesion tersebut.

Beliau berkata penelitian kerajaan tersebut dilakukan bersama dengan pihak-pihak berkepentingan.

“Kerajaan memberi komitmen untuk memastikan supaya sebarang cadangan pindaan dan kesannya kepada pihak berkepentingan diperhalusi melalui proses libat urus dengan pemegang taruh yang terlibat.

“Ini amat penting dalam memastikan sebarang cadangan dasar baharu dikemukakan bersifat inklusif, meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan, mengambil kira kehendak dan keperluan untuk profesion perakaunan berkembang.

“Dalam Persidangan Akauntan Antarabangsa pada Jun 2023 di KLCC yang saya rasmikan ada mencadangkan kemungkinan pindaan boleh dibuat pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Itam), pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian dalam pada itu memaklumkan bahawa kelayakan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan bagi universiti tempatan yang telah dikreditasi dan mendapat pengiktirafan di bawah jadual pertama bahagian satu akauntan 1997.

Katanya ia merupakan salah satu saluran yang disediakan untuk graduan yang telah memenuhi pengalaman praktikal yang ditetapkan selama tiga tahun untuk mendaftar sebagai akauntan di Malaysia melalui Institut akauntan Malaysia (MIA).

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan pada ketika ini berhasrat untuk meningkatkan lagi akauntan dalam kalangan bumiputera.

“Apa yang lebih untuk kita capai ialah dari segi jumlah akauntan bumiputera.

“Saya ingin maklumkan di sini bahawa bumiputera Melayu (11,275), bumiputera Asli (111), bumiputera Sabah dan Sarawak (677), Cina (24,469), India (1,815), lain-lain bangsa (199), asing (197),” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.