Solidariti Palestin: Kerajaan Negeri Perak Lancar Tabung Kemanusiaan

IPOH, 16 Okt – Demi menunjukkan solidariti bersama rakyat Palestin, kerajaan Negeri Perak telah melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin bagi meringankan penderitaan ditanggung mereka akibat kezaliman zionis Israel.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) telah menyediakan dana RM100,000 untuk disalurkan ke dalam tabung berkenaan.

“Kerajaan Negeri Perak melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin bertujuan mengutip dana bagi membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kezaliman Zionis Israel.

“Untuk permulaan, Kerajaan Negeri melalui SADC menyediakan dana RM100,000 untuk disalurkan ke dalam tabung berkenaan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri Perak turut mengalu-alukan semua pihak untuk memberi sumbangan sebagai tanda solidariti tanpa mengira kaum dan agama.

“Tabung ini adalah tanda solidariti rakyat Perak tanpa mengira kaum dan agama dalam menyokong bantahan dunia terhadap kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan jabatan dan agensi, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai untuk sama-sama menyumbang ke dalam tabung tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Perak akan berhubung dengan pihak Kementerian Luar dan Wisma Putra untuk tujuan penyaluran sumbangan tersebut.

“Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam Bendahari Negeri Perak bernombor 08013010064660 dengan menyatakan ‘Tabung Palestin’ di ruangan perihal atau rujukan.

“Kerajaan Negeri akan berhubung dengan pihak Kementerian Luar dan Wisma Putra bagi tujuan penyaluran sumbangan tersebut kepada pihak berkuasa Palestin,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.