Kukuhkan Perpaduan, Jelajah Akar Umbi Presiden Di Alor Gajah Dan Tangga Batu

ALOR GAJAH, 16 Okt- Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan perjumpaan tertutup dengan akar umbi UMNO Bahagian Alor Gajah dalam pertemuan Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO.

Ketibaan Timbalan Perdana Menteri, pada pukul 9.30 malam disambut oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Fairul Nizam Roslan dan kepimpinan serta akar umbi bahagian di Dewan Japerun, Machap, di sini malam tadi.

Beliau juga turut sama mengambil kesempatan beramah mesra dengan akar umbi bahagian itu sambil bergambar sebagai kenangan.

Pertemuan itu diadakan secara santai bagi memperkukuh perpaduan dalam kalangan anggota parti setelah melalui pelbagai rintangan bagi meneruskan perjuangan masa mendatang.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyeru kepada seluruh ahli UMNO agar bangkit membina kekuatan parti dengan menggunakan segala kekuatan jentera yang ada.

Katanya, selain politik pembangunan dan politik khidmat, UMNO juga perlu tangkas dalam politik isu dan sentimen yang sering dimainkan di media sosial serta perlu menangkis setiap serangan yang dihala ke arah parti.

UMNO Bahagian Alor Gajah merupakan destinasi kelima beliau dalam jelajah tersebut.

Terdahulu pada sebelah petangnya, Ahmad Zahid telah mengadakan pertemuan bersama akar umbi UMNO Bahagian Tangga Batu yang turut dihadiri Ketuanya, Datuk Rais Yasin di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Cheng, Tangga Batu.

Beliau turut berpesan pada akar umbi agar bekerja keras bagi memastikan kerusi Parlimen Tangga Batu kembali menjadi milik Kerajaan Perpaduan.

Lebih seribu ahli parti hadir pada kedua-dua pertemuan Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.