Kejayaan Estet Padi Seberang Perak Boleh Jadi Model, Diperluas Ke Sarawak Dan Sabah – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melihat kejayaan Felcra untuk mewujudkan estet padi di Seberang Perak boleh dijadikan modeliti kepada penamanan padi secara berskala besar yang memperlihatkan keberhasilan sumbangan agensi itu dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di dalam keterjaminan makanan negara.

Justeru katanya 50,000 hektar yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkaitan penanaman padi di Sabah dan Sarawak pada sesi soal jawab di Parlimen hari ini adalah perancangan jangka panjang dan setakat ini sejumlah 4,839 hektar telah disahkan untuk dibangunkan.

“Saya ingin mengesahkan bahawa 50,000 hektar yang dimaksudkan itu adalah satu perancangan jangka panjang tetapi setakat ini seluas 4,839 hektar telah disahkan untuk dibangunkan iaitu 2,159 hektar di Sabah melibatkan Beluran dan Kota Belud, manakala 2,680 hektar di Sarawak terutamanya di kawasan Batang Lupar,” katanya.

Beliau menjawab soalan Shafie (Warisan-Semporna) dalam sidang Dewan Rakyat di Parlimen mengenai lokasi dan peruntukan yang terlibat bagi projek penanaman padi di kawasan seluas 50,000 hektar di Sabah dan Sarawak.

Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Menteri KKDW seterusnya berkata kejayaan Felcra untuk mewujudkan estet padi di Seberang Perak adalah merupakan satu contoh yang memperlihatkan keberhasilan sumbangan Felcra, KKDW di dalam keterjaminan makanan.

Lantas itu tambahnya, KKDW telah mengadakan perbincangan dengan Premier Sarawak dan juga Ketua Menteri Sabah agar menggunakan modeliti yang telah memberikan keberhasilan yang cukup baik.

“Seluas 4,500 hektar telah dibangunkan dan penghasilannya adalah lima metrik tan perhektar dan ini melibatkan kira-kira 2,500 metrik tan semusim. Pada hemat saya Sabah dan Sarawak amat-amat memerlukan modeliti yang sama untuk dilakukan,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.