UMNO Melaka Terus Diperkasakan, Tiga Elemen Fokus Utama Negeri- Ahmad Zahid

TANGGA BATU, 15 Okt – UMNO Melaka semakin perkasa dan teguh di bawah pentadbiran Pengerusinya Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata di samping itu, akar umbi harus siap sedia sebagai persiapan menghadapi pilihan raya akan datang biarpun menang dengan selesa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu.

“Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kerana di bawah kepimpinan beliau UMNO/Barisan Nasional (BN) Melaka semakin perkasa dan teguh.

“Kita mempunyai 36 bulan dari sekarang untuk siap siaga dan tidak mampu berada di zon yang selesa kerana di luar sana telah menyaksikan biarpun Melaka menang lebih 3/4 majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi tidak dapat mengekal satu pun kerusi Parlimen. Ini adalah hakikat politik yang telah kita alami.

“Ada ketikanya kita menang dan menang besar dan kekalahan telah menghantui kita. Namun dalam tempoh 36 bulan ini yakin di bawah kepimpinan Ab Rauf dengan rakan-rakan pimpinan bahagian-bahagian Wanita, Pemuda dan Puteri apatah lagi kerajaan negeri yang telah ditadbir dengan baik sekarang ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat UMNO Bahagian Tangga Batu, di sini hari ini.

Turut hadir Ab Rauf yang juga selaku Ketua Menteri, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin serta kepimpinan tertinggi UMNO negeri.

Dalam masa yang sama Ahmad Zahid Datuk yakin Melaka di bawah Ab Rauf mampu memacu negeri ke arah yang lebih gemilang dengan menumpukan kepada tiga elemen utama.

“Tiga elemen utama adalah pelancongan dan sesuai dengan Tahun Melawat Melaka 2024, ‘Foreign Direct Investment’ (FDI) pelaburan dari luar negara yang telah dibawa masuk dengan pembukaan zon industri yang baharu dan juga ‘Domestic Direct Investment’ (DDI). Semuanya itu bukan hanya menaikkan KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) kepada negeri Melaka tetapi dapat mengunjurkan peluang pekerjaan yang baharu.

“…dan pada waktu yang sama kerajaan negeri Melaka mempunyai saham dari segi cukai-cukai yang tertakluk kepada kerajaan negeri terutamanya pihak kuasa tempatan dan yang terakhirnya adalah TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) adalah peluang terbaharu di negeri Melaka,” katanya lagi.

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara, Ahmad Zahid berkata beliau akan mengunjurkan beberapa institusi TVET yang baharu di Melaka.

“Saya akan mengunjurkan beberapa institusi TVET sesuai dengan permintaan guna tenaga sumber manusia bagi tenaga yang diperbaharui dan juga keperluan guna tenaga untuk pekerjaan berteknologi tinggi.

“Bukan sahaja pelabur-pelabur yang akan datang ke Melaka tetapi melabur di negeri lain memerlukan tenaga yang sama dan TVET ini boleh diperkasakan di negeri Melaka. Malah beberapa institusi TVET di bawah MARA akan perkasakan untuk bantu generasi muda melatih untuk peluang pekerjaan,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.