Wan Rosdy Yakin Belanjawan 2024 Bawa Manfaat Besar Kepada Setiap Lapisan Masyarakat

KUANTAN, 14 Okt – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yakin Belanjawan 2024 yang dibentangkan petang semalam membawa manfaat yang besar kepada setiap lapisan masyarakat serta memberi dorongan kepada pertumbuhan ekonomi negara yang positif.

Naib Presiden UMNO itu berharap seluruh rakyat Malaysia dapat menyokong penuh belanjawan yang telah dibentangkan itu demi kestabilan dan kemakmuran bersama.

“Tahniah dan terima kasih kepada YAB (Yang Amat Berhormat) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang juga Menteri Kewangan atas pembentangan Belanjawan 2024, pada petang semalam.

“Sudah pastinya belanjawan yang telah diumumkan ini merupakan satu naskhah belanjawan yang telah digarap secara komprehensif, holistik serta mencakupi pelbagai sektor seperti ekonomi, pembangunan infrasturktur, pendidikan, kesihatan, keselamatan, keterjaminan makanan serta inisiatif-inisiatif untuk meringankan beban rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Belanjawan 2024 memperuntukkan sebanyak RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan, yang mana daripada jumlah tersebut RM303.8 bilion adalah untuk belanja mengurus, RM90 bilion untuk belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy juga menghargai serta merakamkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah memberikan beberapa peruntukan pembangunan kepada Negeri Pahang seperti berikut:

i. Memperuntukkan RM47 juta bagi menambah baik fasiliti penumpang di terminal Lapangan Terbang Tioman dan memanjangkan landasan sedia ada kepada 1,300 meter.
ii. Taman Rimba Kenong, Lipis disenaraikan antara yang terlibat dalam menyelenggara dan memulihara lokasi tarikan pelancongan dengan peruntukan RM20 juta.
iii. Lembangan Sungai Pahang disenaraikan antara yang terlibat dalam 33 Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi dengan kos melibatkan RM11.8 bilion.
iv. Pembinaan dua buah sekolah baharu iaitu Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Melati, Kuantan.
v. Pembinaan Klinik Kesihatan Kuala Tahan, Jerantut.
vi. Meneruskan Program Transformasi Bas Henti-henti di Kuantan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.