Pelbagai Insentif Belanjawan 2024, Langkah Proaktif Kerajaan Terhadap Aktiviti Agrikomoditi Dan Sosioekonomi

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Pengerusi RISDA Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang mewakili badan berkanun itu dan pekebun kecil getah mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan atas peruntukan dan sokongan kepada sektor perladangan dan komoditi melalui pembentangan belanjawan tahun 2024 semalam.

Katanya yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia, secara keseluruhannya, peruntukan sebanyak RM2.4 bilion kepada FELDA, FELCRA dan RISDA adalah langkah proaktif yang akan memberi manfaat besar kepada pekebun kecil dalam meningkatkan aktiviti agrikomoditi dan sosioekonomi.

“Kami berharap dengan sokongan dan insentif yang diberikan, sektor perladangan dan komoditi, khususnya industri getah, akan terus berkembang dan memberi sumbangan yang lebih besar kepada ekonomi negara.

“RISDA akan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan dalam menjayakan setiap inisiatif yang telah dirancang untuk kesejahteraan pekebun kecil dan industri perladangan negara,” katanya menerusi satu catatan di Facebook.

Petang semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan telah membentangkan Bajet 2024.

Belanjawan tersebut memperuntukkan RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan, yang mana daripada jumlah tersebut, RM303.8 bilion adalah untuk belanja mengurus, RM90 bilion untuk belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

Manakala antara pengumuman kerajaan berkaitan industri komoditi adalah seperti berikut:
1. Meningkatkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM3 sekilogram dengan peruntukan sebanyak RM400 juta.
2. Memberikan peruntukan sebanyak RM90 juta kepada RISDA dan FELCRA untuk menggalakkan pekebun kecil mengoptimumkan penggunaan tanah ladang mereka.
3. Menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta dan RM70 juta untuk memperkasa industri sawit melalui program tanam semula dan kelestarian.
4. Peruntukan sebanyak RM10 juta untuk pembangunan kaedah penggunaan gas stimulan yang dapat meningkatkan pengeluaran getah. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.