KPT Sambut Baik Inisiatif Belanjawan 2024 – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyambut baik atas inisiatif Belanjawan 2024 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri untuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Naib Presiden UMNO itu berharap ia mampu memacu usaha ke arah memantap dan memartabatkan sektor pendidikan tinggi negara.

“Alhamdulillah, pelbagai inisiatif yang diumumkan bagi sektor pendidikan tinggi. KPT diperuntukkan sejumlah RM16.3 bilion pada tahun 2024 berbanding RM15.3 bilion pada tahun ini,” katanya menerusi platform media sosialnya.

Tambah Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, antara perkara yang diumumkan ialah peruntukan bagi memperluas capaian Wi-Fi di semua universiti awam (UA).

“…menyelenggara prasana dan peralatan usang serta galakan komuniti rentan mengikuti Program Pembelajaran Sepanjang Hayat di Kolej Komuniti.

“Bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi melalui inovasi dan bakat digital, kerajaan bersetuju untuk menubuhkan pusat pengajian kecerdasan buatan pertama negara iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia dengan peruntukan awal RM20 juta,” katanya.

Manakala dalam konteks Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman dengan kadar yang lebih anjal.

“Malah yuran pengajian dihadkan kepada RM1,500.00 untuk UA dan pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester,” ulasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.