Hak, Kepentingan Orang Asli Tetap Dijaga Dan Diperjuangkan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan komitmen selagimana diamanahkan kepadanya untuk menjaga Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), beliau akan tetap memperjuangkan hak dan menjaga kepentingan kaum tersebut.

Menerusi catatan di Facebook, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menampilkan pertemuannya bersama Tok Batin dan Penghulu Orang Asli, serta menyatakan komitmen untuk merealisasikan setiap permohonan daripada mereka serta JAKOA.

“Keutamaan saya adalah pembinaan dewan-dewan adat serta membangunkan Bandar Baharu Kuala Betis sebagai pusat sehenti penduduk setempat.

“Selain itu, permohonan bekalan air bersih, jalan berturap, pembinaan dan baik pulih rumah juga akan dilaksanakan secara berperingkat melalui peruntukan kementerian dan kerjasama agensi di bawah KKDW,” ujarnya.

Manakala menyentuh soal pendidikan, beliau mengucapkan tahniah dan amat berbangga dengan pencapaian anak-anak orang Asli yang mendapat tempat melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Tahun ini sahaja sejumlah 350 anak orang Asli diterima masuk ke IPT. Satu pencapaian yang amat membanggakan.

“Saya juga akan memastikan Kolej TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) khusus untuk orang Asli direalisasikan,” tekadnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.