Bajet 2024 Usaha Inklusif, Fokus Keperluan Rakyat – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Bajet 2024 yang dibentangkan di Parlimen pada Jumaat amat bertepatan dengan frasa “Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat”.

Ahli Parlimen Jelebu yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata selaku wakil rakyat, pihaknya menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menunjukkan kesungguhan Kerajaan Perpaduan untuk memperbaiki dan mengangkat darjat ekonomi negara dan rakyat.

Menurut beliau keputusan kerajaan menyediakan RM2.6 bilion dalam bentuk subsidi dan insentif kepada pesawah dan nelayan, membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menoktahkan kemiskinan kumpulan sasar.

“Menelusuri situasi semasa rakyat, saya melihat peruntukan RM200 juta untuk meneruskan pelaksanaan program Payung RAHMAH di lebih banyak kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) seluruh negara dapat membantu rakyat mendepani cabaran kos sara hidup.

“Peningkatan kadar maksimum pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dari RM3,100 kepada RM3,700 dan kadar minimum STR untuk golongan belia dari RM350 kepada RM500 juga mampu melonjakkan kuasa beli rakyat, terutama di luar bandar.

“Selain itu, RM333 juta yang diperuntukkan untuk komuniti Orang Asli meliputi pelaksanaan projek pembangunan sosioekonomi dan prasarana, dan RM28 juta untuk program pembangunan usahawan serta penanaman semula ladang Orang Asli, pastinya mampu menambahbaik kualiti kehidupan golongan ini,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO Online.

Kata beliau lagi keseriusan kerajaan dalam menyalurkan RM1.63 bilion untuk membina dan menaik taraf jalan di kampung dan desa, serta RM939 juta untuk bekalan air dan elektrik ke kawasan luar bandar, membuktikan kerajaan ini tidak meminggirkan kehidupan luar bandar.

“Justeru, marilah kita gerak bersama atas semangat ‘Madani’ untuk memperbaiki kualiti kehidupan kita kearah yang lebih baik..” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.