Amizar Galas Kepercayaan, Ingin Lihat Pelangai Terus Ke Depan

BENTONG, 14 Okt – Walaupun belum lagi mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai secara rasmi, Datuk Amizar Abu Adam tidak lekang bertemu dengan penduduk setempat di kawasan Pelangai khususnya mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan Sabtu lalu.

Baru-baru ini, beliau berkesempatan mengadakan tinjauan dan melihat secara lebih dekat perusahaan ternakan lembu oleh golongan muda dalam sektor berkenaan.

Menerusi perkongsiannya bersama UMNO-Online, beliau berkata pihaknya amat menggalakkan usahawan ataupun mereka yang menceburkan diri dalam bidang berkenaan dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat.

“Di Pelangai ramai anak-anak muda yang mengusahakan ternakan lembu dan semalam saya melawat ke salah sebuah kandang lembu di Felda Chemomoi.

“Dalam perbincangan tersebut, banyak isu dan idea dilontarkan. Insya-Allah saya akan berusaha membantu agar industri ternakan ini mampu pergi lebih jauh dan menguasai pasaran yang lebih besar,” katanya.

Beliau seterusnya menambah setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing dan pihaknya akan melihat dan meneliti secara mendalam agar apa yang dihasratkan berjalan sebaiknya.

“Pesanan saya kepada mereka supaya setiap individu harus memainkan peranan masing-masing dan terus kekalkan kebersamaan ini bagi melancarkan setiap proses yang dijalankan. Insya-Allah setiap kejayaan nanti diiringi dengan keberkatan,” tambahnya.

Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai apabila calonnya Amizar menang pada PRK kawasan itu dengan majoriti 2,949 undi.

Amizar memperolehi 7,324, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat 4,375 dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli 47. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.