Tiada Perbincangan Membabitkan Ahli Parlimen PN Sokong Kerajaan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa tiada perbincangan yang dilakukan membabitkan tindakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang memutuskan untuk menyokong Kerajaan Perpaduan.

Katanya, Iskandar Dzulkarnain yang mewakili Perikatan Nasional (PN) itu juga tidak memaklumkan keputusannya itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ahli Parlimen Kuala Kangsar tidak pun menelefon atau bertemu dengan Perdana Menteri, apatah lagi mengadakan perbincangan mengenai sokongan beliau kepada Kerajaan Perpaduan atau beliau sendiri keluar partinya.

“Perkara ini adalah atas kehendak peribadi beliau sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan selepas pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat hari ini yang bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’.

Terdahulu, Iskandar Dzulkarnain yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM itu mengumumkan keputusannya untuk menyokong Kerajaan Perpaduan demi manfaat rakyat di kawasannya.

Beliau dilapor berkata, keputusan itu untuk melihat sama ada Perdana Menteri akan menepati ikrar berhubung dana peruntukan untuk Ahli Parlimen. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.