Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Buka Mata… Jangan Pekak Telinga, 75 Tahun Rakyat Palestin Ditindas – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Pekarangan Masjid Negara hari ini menjadi lokasi ribuan rakyat berbilang kaum yang merealitikan ‘Himpunan Solidariti Bersama Gaza.’

Himpunan ini bertujuan membantah kekejaman serangan Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh bertegas bahawa rejim Israel tidak berhak menyekat segala bentuk saluran bantuan kemanusiaan dari negara luar kepada penduduk Palestin.

“Kita menggesa dunia untuk melihat dan bukakan mata, jangan pekakkan telinga. Kalau Israel boleh menyekat makanan, elektrik dan pelbagai lagi untuk rakyat Palestin, kita perlu sekat Israel daripada apa sekali pun.

“Saya menyeru kepada semua kepimpinan negara Islam di seluruh dunia, lakukan betul-betul dan sekat jualan minyak pada mana-mana negara yang menyokong Israel.

“Cukup… cukuplah sudah 75 tahun rakyat Palestin ditindas dan tidak diberikan hak mereka untuk tinggal di tanah mereka dan ini masanya kebangkitan rakyat Palestin bersama seluruh dunia,” katanya di sini.

Beliau yang juga exco kerajaan negeri Melaka juga berharap momentum ini dapat diteruskan agar dunia tahu bahawa suara rakyat Malaysia tidak akan berkompromi dalam menuntut hak kebebasan rakyat Palestin.

“Ini menunjukkan bukannya soal isu politik tapi hak kebebasan untuk rakyat Palestin. Kita tidak berkompromi menyakiti rakyat Palestin kerana bermakna menyakiti kita semua. Tidak ada kompromi dan kita akan lawan sampai ke titisan darah terakhir.

“Kita tidak mahu gencatan kerana gencatan hanya sementara dan kita hendak hak rakyat Palestin diberikan secara kekal dan dibenarkan hidup di tanah mereka.

“Cukup… cukuplah gencatan. Gencatan ini hanya waktu rehat bagi tentera Israel tetapi kita mahukan kedamaian, hak rakyat Palestin perlu diserahkan pada mereka,” ujarnya.

Sehingga kini Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan lebih 1,000 rakyat negara itu maut dalam serangan udara yang dilancarkan Israel baru-baru ini. Daripada jumlah berkenaan, sebahagian mangsa merupakan golongan wanita dan kanak-kanak. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.