Belanjawan 2024: Kerajaan Kekalkan Harga Barangan Bersubsidi Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Kerajaan mengekalkan harga barangan bersubsidi untuk rakyat biarpun berdepan dengan kenaikan luar jangka harga komoditi dunia.
Demikian maklum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat hari ini dengan bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’.

Ujarnya, Belanjawan 2023 memperuntukkan 64 bilion ringgit untuk perbelanjaan subsidi dan bantuan tetapi keperluan tahun ini dijangka mencecah 81 bilion ringgit.

“Mulai tahun hadapan, pendekatan penyasaran semula subsidi akan dilaksanakan secara berfasa. Hasil penjimatan subsidi ini sebahagiannya akan disalurkan terus untuk meningkatkan peruntukan bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah daripada 8 bilion ringgit kepada 10 bilion ringgit,” katanya.

Berkaitan harga ayam dan telur, Anwar memaklumkan bahawa sejak Februari 2022, Kerajaan menanggung 3.8 bilion ringgit untuk subsidi telur dan ayam.

“Tujuan asal subsidi sementara ini adalah untuk mengawal harga ayam dan telur yang meningkat mendadak serta menangani kekurangan bekalan.

“Alhamdulillah, trend semasa menunjukkan bekalan ayam dan telur telah mula stabil dan harga pasaran semasa kini berada di bawah harga siling kawalan. Maka dengan itu, kawalan harga sementara yang ditetapkan akan dilepaskan supaya pasaran tempatan boleh berfungsi semula dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan ayam dan telur di pasaran.

“Pengumuman terkait langkah-langkah konkrit lanjutan akan dibuat oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam masa dua minggu.”

Terang Anwar, berkaitan pemberian subsidi elektrik secara pukal sangat membebankan dan lebih menguntungkan golongan kaya.

“Pada tahun 2022, trend menunjukkan, 10 peratus pelanggan dengan penggunaan elektrik tertinggi menikmati 50 peratus subsidi, sedangkan 50 peratus pelanggan dengan penggunaan elektrik terendah hanya menikmati 10 peratus subsidi yang diberikan.

“Maka sebab itu, bermula tahun ini, Kerajaan telah melaksanakan subsidi bersasar dengan melepaskan sebahagian subsidi bagi 10 peratus penggunaan elektrik tertinggi tetapi pada masa yang sama, mengekalkan subsidi yang sama bagi 90 peratus pengguna.

“Pendekatan bersasar ini telah dapat menjimatkan lebih 4.6 bilion ringgit daripada unjuran subsidi elektrik 20 bilion ringgit. Namun, Kerajaan masih menanggung subsidi elektrik 16 bilion ringgit untuk tahun 2023 khususnya bagi pengguna di rumah serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).”

Katanya, kerajaan akan terus menambah baik pendekatan subsidi elektrik bersasar mengikut tahap penggunaan elektrik.

“Kerajaan berharap, keputusan ini memberi isyarat tepat kepada pengguna untuk mempraktikkan kecekapan tenaga dan amalan berjimat cermat dalam penggunaan elektrik seharian.

“Kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian rebat bil elektrik sehingga 40 ringgit sebulan kepada isi rumah miskin tegar dengan peruntukan 55 juta ringgit. Selain itu, Kerajaan juga bersetuju mengecualikan bayaran deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri.

Berkaitan bahan api diesel pula, Anwar menerangkan bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan, Kerajaan berhasrat untuk merasionalisasikan subsidi diesel secara berfasa.

“Bahan api diesel juga berdepan isu ketirisan yang serius. Harga diesel bersubsidi semasa ditetapkan pada 2 ringgit 15 sen berbanding harga pasaran 3 ringgit 75 sen seliter.

“Ini bermakna, Kerajaan menanggung 1 ringgit 60 sen bagi setiap liter diesel atau sekitar 1.5 bilion ringgit keseluruhannya. Menurut data penggunaan, jualan diesel bersubsidi meningkat sehingga 40 peratus sejak 2019 sedangkan jumlah kenderaan menggunakan diesel hanya meningkat kurang 3 peratus. Ini bermakna, wujud kemungkinan aktiviti penyeludupan yang serius akibat harga diesel Malaysia yang terlalu murah.”

Dalam hal ini beliau menekankan bagi menjayakan hasrat penyasaran semula subsidi, hubungan perdagangan antara pembeli dan penjual haruslah jujur.

“Secara konsepnya, harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barangan. Sementara pengguna lain akan dikenakan harga yang lebih tinggi.

“Dengan pendekatan tersebut, ianya dapat mengurangkan ketirisan subsidi tetapi pada masa yang sama, mengurangkan impak kepada harga barangan untuk rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.