Belanjawan 2024 Bersifat Inklusif, Menyeluruh Kepada Pelbagai Lapisan Rakyat – Ahmad Zahid

 

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Belanjawan 2024 bersifat inklusif dan menyeluruh kepada pelbagai lapisan rakyat.

Katanya, ini termasuk hasrat kerajaan bagi menoktahkan kemiskinan tegar dalam kalangan rakyat menjelang akhir tahun ini.

“Tahniah kepada Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan yang telah membentangkan belanjawan yang sangat komprehensif, tidak ada suatu pun kumpulan sasaran yang tertinggal.

“Ini termasuk apa yang disebut sebagai satu usaha bagi menoktahkan kemiskinan tegar menjelang akhir tahun ini.

“Kerana kita mendapati bahawa daripada hampir 130,000 kumpulan miskin tegar isi rumah telah turun 18,000 ini akan dapat dimuktamad menjelang 31 Disember,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media yang diadakan selepas pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat hari ini yang bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam pada itu berkata kementerian ini mendapat kenaikan belanjawan sebanyak 4.7 peratus atau bersamaan RM513 juta pada kali ini, sekaligus memperoleh RM11.5 bilion.

Menurut beliau lagi, dalam memperkasa pembangunan rakyat, pelbagai program baharu akan diperkenalkan di samping meneruskan kesinambungan program sedia ada meliputi pendidikan, kemudahan infrastruktur luar bandar dan lain-lain.

“Tentunya sebagaimana diumum terdapat program baharu bukan sahaja memberikan kesinambungan kepada program yang telah diperkenalkan KKDW tetapi terkait dengan pembinaan tabika baharu Kemas dan peruntukan khas untuk tabika maahad tahfiz.

“Juga pembangunan orang asli, di samping meneruskan prasarana di luar bandar air dan elektrik serta program komuniti sosial,” ujar beliau.

Tambah Ahmad Zahid belanjawan ini juga berupaya dalam mengangkat peranan Felcra, Risda, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan industri halal dalam memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Begitu juga untuk Felcra dan Risda saya mengharapkan agar peruntukan yang besar bukan sahaja memberikan pertumbuhan ekonomi baik kepada negara bagi menaikkan peratusan KDNK tetapi juga pada waktu sama ianya dapat memberikan pertambahan pendapatan kepada peladang atau pekebun.

“Juga kepada kumpulan usahawan di desa, di mana kita dapati bahawa terdapat beberapa insentif juga diberikan

“Malah penambahan peruntukan TVET, saya merasa teruja kerana RM6.8 bilion sebagai mana diperuntukan pada Belanjawan 2023 untuk seluruh 1,334 institusi TVET ini di samping khursus lain yang disesuikan dengan permintaan tenaga dan pasaran pekerjaan di negara ini

“Industri halal beberapa insentif juga telah diberikan dan ini juga tentunya pada 2030 industri ini akan dimanfaatkan sepenuhnya, ia akan dapat menyumbangkan 11 peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan ini tentunya sumbangan yang besar kepada negara,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.