Bajet 2024: UMNO Labuan Harap Suntikan Kerajaan Perpaduan Kembalikan Program Berimpak Tinggi

LABUAN, 13 Okt – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melaksanakan pembentangan Belanjawan 2024 petang ini.

Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berharap agar Labuan akan turut diberikan tumpuan dalam agihan bajet tersebut.

“Harap bajet ini ada peruntukan khas untuk selesaikan masalah rakyat khususnya masalah asas iaitu air dan api yang melanda penduduk setempat.

“Kita juga harap ada suntikan khas RM10 juta untuk anjurkan program-program berimpak tinggi yang akan memberi pulangan kepada kehadiran pelancong-pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, yang mengulas berkaitan hal terbabit.

Katanya, adalah tidak mustahil untuk pelancong-pelancong bertumpu di Labuan kerana ia pernah berlaku apabila adanya pelbagai program yang berimpak tinggi.

“Kita juga mengharapkan ada peruntukan untuk pembangunan infra masyarakat Labuan, di kawasan kampung misalnya baik pulih rumah-rumah, jalan-jalan kampung dan pembangunan serta pelbagai projek setempat yang lain,” katanya lagi.

Pembentangan Bajet 2024 akan disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan dan media sosial pada 4 petang ini.
Ia merupakan belanjawan kedua dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar, yang juga Menteri Kewangan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.